Home » » Tugas Amanah elak Islam tenggelam, bukannya curi ahli Pas

Tugas Amanah elak Islam tenggelam, bukannya curi ahli Pas

Written By aku on Wednesday 7 November 2018 | 4:20 pm


KUALA LUMPUR - Amanah tidak sewajarnya menjadikan komplot merekrut ahli Pas sebagai agenda utama parti setelah menjadi komponen kerajaan memerintah hari ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya meminta, pemimpin-pemimpin Amanah yang kini di tampuk kuasa agar tidak membiarkan agenda Islam tenggelam dalam kerajaan.


"Tidak sepatutnya menjadi agenda Amanah untuk tarik ahli Pas melompat ke parti mereka.

"Sebelum menang PRU14, Amanah pernah menyatakan akan memperkasakan agenda Islam setelah diberi kuasa.


"Namun kini, jadikan rekrut ahli Pas untuk sertai mereka sebagai petunjuk prestasi utama (KPI). Amanah jangan sesekali biar perspektif Islam tenggelam dalam kerajaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menyatakan Pas sedikit pun tidak gusar dengan gerakan Amanah yang berhasrat merekrut ahli Pas menyertai Amanah kerana beliau yakin ahli-ahli Pas istiqamah dengan perjuangan parti Islam itu.

"Insya-ALLAH ahli Pas istiqamah dengan parti," ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau turut mengungkit janji-janji pemimpin Amanah sebelum ini kononnya mahu membawa Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) dan pindaan akta bagi memansuhkan hukuman mati mandatori.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, Amanah selaku parti kerajaan kini sepatutnya mencorakkan kerajaan PH berlandaskan perspektif Islam kerana itu tanggungjawab yang lebih besar berbanding memancing ahli Pas menyertai mereka.

Terdahulu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, merekrut ahli Pas menyertai Amanah adalah KPI buat pemimpin Amanah.

Menurut ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, kejayaan parti menambah keahlian baharu bukan daripada golongan muda semata-mata, sebaliknya berapa ramai berjaya menarik ahli Pas meninggalkan parti itu seterusnya menyertai Amanah.

Tambah Mahfuz, meskipun sudah lama meninggalkan Pas, pemimpin Pas di semua peringkat tidak pernah melupakan rakan-rakan mereka yang masih bersama Pas.--ainat-
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger