Home » » Bas Express ke Pontianak diganggu

Bas Express ke Pontianak diganggu

Written By aku on Monday 23 December 2013 | 11:36 am


KUCHING: Beberapa pengusaha bas ekspres tempatan ke Pontianak, Indonesia di sini menghadapi masalah untuk meneruskan perjalanan ke destinasi itu selepas mendakwa bas mereka ditahan di negara jiran dan diarah menyerahkan wang.
Tinjauan Bernama di Kuching Sentral mendapati empat syarikat bas ekspres tempatan (Sri Merah-Borneo Highway Express, Eva Express, Bintang Jaya Express dan Biaramas Express) serta dua syarikat dari Indonesia (Damri Bus Express dan SJS Express) menawarkan perjalanan ke Pontianak.
Pegawai Pemasaran Jualan Sri Merah-Borneo Highway Express Fong Soon Fook, yang mengesahkan perkara berkenaan berkata bas mereka ditahan di negara jiran itu.
“Bas kami ditahan di pertengahan jalan oleh kumpulan tertentu, sebelum mereka meminta wang daripada pemandu dan penumpang dari Malaysia.
“Mahu tidak mahu terpaksa bayar, sebelum meneruskan perjalanan,” katanya kepada Bernama.
Pekerja Biaramas Express Aniline Libeg, 25, berkata bas syarikat itu hanya berjaya sampai ke sempadan Tebedu, sebelum kembali ke Kuching.
“Dalam tempoh empat hari ini, bas hanya dapat sampai ke sempadan Tebedu, sebelum dinasihati ‘rakan-rakan’ kami di sebelah sana supaya tidak meneruskan perjalanan, kemudian van dari Pontianak mengambil dan membawa penumpang ke lokasi (Pontianak).
“Pihak syarikat tidak mahu memperjudikan nasib pemandu, jadi ikut sahaja apa yang dinasihatkan itu,” kata Aniline.
Bagaimanapun difahamkan syarikat bas dari Indonesia, SJS Express tidak menghadapi masalah gangguan itu.
Penjaga kaunter syarikat itu yang hanya ingin dikenali sebagai Sue, 29, berkata bas mereka sama ada dari Kuching ke Pontianak atau dari Pontianak ke Kuching tidak menghadapi sebarang masalah atau perkhidmatan mereka diganggu mana-mana pihak sepanjang perjalanan itu.
Apabila ditanya punca masalah itu, Fong berkata ia mungkin disebabkan insiden membabitkan dua warga Indonesia di Bintulu dan Betong baru-baru ini.
“Kejadian warga Indonesia ditembak mati polis kerana mengamuk serta mayat pekerja Indonesia yang mati dalam kejadian kebakaran di Bintulu dipulangkan kepada keluarga mereka tanpa organ dalaman, dipercayai menimbulkan kemarahan orang di sebelah sana,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Serian DSP Mohd Jamali Umi ketika dihubungi Bernama mengesahkan mendapat maklumat adanya pengusaha bas ekspres tempatan ke Pontianak, Indonesia di sini menghadapi masalah untuk meneruskan perjalanan ke destinasi itu.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis tidak menerima sebarang aduan daripada pengusaha terbabit.
“Kami masih memantau keadaan di sempadan negara (Tebedu). Selain itu kami turut berkongsi maklumat bersama Kepolisian Resor (Polres) di Pontianak,” katanya.
Menurutnya polis juga telah mendapatkan maklumat daripada Konsulat Malaysia di Pontianak dan cawangan khas di daerah Sanggau Indonesia, bagaimanapun kedua-dua pihak di kawasan berkenaan memaklumkan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Mohd Jamali berkata kejadian itu bermula selepas khabar angin keluarga seorang rakyat Indonesia yang maut dalam satu kebakaran di Bintulu mendakwa organ dalaman mayat anak mereka itu tiada, dipercayai dicuri.
Dalam kejadian itu dua maut dipercayai akibat lemas terhidu asap tebal dalam kebakaran membabitkan bilik sewa tingkat tiga di sebuah rumah kedai, Jalan Sri Dagang, Bintulu, kedua-dua mangsa terkorban merupakan seorang lelaki tempatan dan wanita warganegara asing.
Sempadan Tebedu-Entikong yang terletak di Serian kira-kira 90 kilometer dari Kuching adalah antara beberapa laluan di negeri ini yang menghubungkan Sarawak, Malaysia dengan Kalimantan, Indonesia. — Bernama

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger