Home » » Jelmaan makhluk halus dalam foto

Jelmaan makhluk halus dalam foto

Written By aku on Friday 13 December 2013 | 11:43 am


Yan: Minat seorang gadis mengambil gambar memberi kejutan buat dirinya apabila merakam imej misteri seorang lelaki tua berpakaian serba putih ketika menghadiri majlis kenduri kesyukuran di sebuah taman perumahan di Batu 19, Guar Chempedak, dekat sini, baru-baru ini.

Noor Fuzaina Mazlan, 20, yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia hanya sekadar suka-suka mengambil gambar suasana majlis kenduri berkenaan dengan menggunakan telefon bimbit Nokia model C3 milik bapanya kira-kira jam 12 tengah hari.

“Saya mengambil beberapa keping gambar daripada pelbagai sudut selepas tetamu selesai membaca doa selamat, tetapi tidak melihat hasil gambar yang diambil kerana terus menyimpan telefon bimbit berkenaan.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila melihat imej berupa seorang lelaki tua berpakaian serba putih selepas melihat kembali semua gambar yang diambil pada sebelah petang sejurus majlis berkenaan selesai lalu memaklumkan kepada kedua ibu bapa,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.

Sementara itu, bapa Fuzaina, Mazlan Ishak, 49, berkata, pada mulanya dia menyangka imej berkenaan adalah kelibat tetamu yang hadir, namun beberapa orang yang ditemui menafikan melihat atau mengenali lelaki tua berpakaian serba putih terbabit.

“Malah, ada juga dalam kalangan jiran saya mula berkongsi cerita mengenai pengalaman mereka melihat kelibat makhluk serba putih itu di sekitar kawasan perumahan ini.

“Saya cuba bertanya kepada beberapa tetamu yang ada di dalam gambar ini, namun mereka juga gagal mengingati sebarang kelibat manusia berpakaian seperti imej yang dirakam oleh anak gadis saya itu,” katanya.

Menurutnya, pelbagai andaian dibuat oleh orang ramai selepas melihat imej itu, namun ia masih menjadi tanda tanya mengenai sejauh mana kebenarannya kerana tiada sesiapa boleh mengesahkan sama ada ia kelibat manusia atau makhluk ghaib seperti yang pernah diceritakan penduduk sebelum ini.

Penduduk lain, Farah Yusof, 23, berkata, cerita berkaitan kelibat orang tua berpakaian serba putih terbabit sudah menjadi buah mulut masyarakat di situ sejak sekian lama.

“Ibu bapa saya tinggal di sini sejak berpuluh tahun lalu dan cerita mengenai kelibat orang tua berpakaian serba putih itu sering didengar, namun ini adalah kali pertama saya mendengar imejnya dirakam menggunakan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Rawatan Islam Darussyifa’, Pulau Pinang Taufiq Mohamad Husin ketika dihubungi berkata, imej berkenaan berkemungkinan sekadar bayangan yang wujud tanpa disedari individu yang mengambil gambar terbabit.

Menurutnya, beliau menasihatkan orang Islam supaya tidak mudah mempercayai perkara khurafat kerana boleh memesongkan akidah.

“Dalam konteks ini, saya rasa tidak menjadi sebarang masalah kepada masyarakat sama ada mahu percaya atau sebaliknya mengenai imej dalam gambar yang dirakam itu selagi tidak menjejaskan keimanan kita,” katanya.
--Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger