Lebih 400 dipindah di Kelantan
Written By aku on Wednesday, 4 December 2013 | 9:17 pm
KOTA BHARU - Banjir yang melanda Kelantan menyebabkan 436 orang di jajahan Kuala Krai dipindahkan ke pusat pemindahan petang ini.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, sehingga 4 petang ini kesemua mangsa daripada 98 keluarga itu yang tinggal di Mengkebang dan Olak Jeram, dipindahkan ke lima pusat pemindahan.
Ia berikutan kenaikan paras air Sungai Lebir dan Sungai Kelantan sehingga melimpah.
Setakat waktu itu, air Sungai Kelantan pada bacaan di Tangga Krai kini 25.28 meter melepasi tahao bahaya 25 meter manakala di Jambatan Guillemard 16.30 meter (bahaya 16 meter).
Sungai Lebir di Tualang juga melebihi paras bahaya dengan mencatatkan bacaan 35.56 meter (bahaya 35 meter).
Paras air di sungai-sungai lain dilaporkan meningkat berikutan hujan yang sesekali lebat di kebanyakan kawasan pedalaman negeri ini.
Tiada jalan utama yang dilaporkan terputus hubungan.
Sementara itu, Penyelia Kemajuan Masyarakat (Kemas) Rantau Panjang Mukhtar Mustafa meminta semua 25 taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas membuat persiapan dengan menyimpan barang berharga seperti alat bantu mengajar, makanan dan perkakas elektrik di tempat tinggi.
Tahun lepas, Tabika-Tabika itu ditenggelami air dan jika banjir berlarutan hingga Januari depan, Tabika akan dibuka semula lewat daripada jadual, katanya. - Bernama
Labels:
INFO BANJIR TERKINI,
Semasa