Home » » Letupan Kuat Gegarkan Pengkalan Kubor

Letupan Kuat Gegarkan Pengkalan Kubor

Written By aku on Monday 23 December 2013 | 8:40 am


Tumpat: “Bunyi letupan itu kuat seperti bom sehingga menggegarkan rumah sebelum saya melihat lapan cermin tingkap rumah saya pecah,” kata Che Asiah Che Mohamed, 59, menceritakan detik cemas mercun rampasan untuk dilupuskan yang diletakkan di empat tangki berisi air di dalam sebuah lori di kawasan stor milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pengkalan Kubor, di sini, yang terletak berhampiran rumahnya meletup, semalam.

Dalam kejadian jam 1.10 tengah hari itu, lori berkenaan rosak teruk manakala serpihan cermin tingkap rumah Che Asiah yang pecah terkena lengan kiri seorang cucunya, Izzue Solehin Aizzudin, 4, menyebabkannya cedera ringan.

Ketika kejadian, Che Asiah berada di dalam rumah bersama enam ahli keluarganya termasuk anak perempuannya, Nurul Izzah Yaacub, 24, serta menantunya, Sarah Sulaiman, 27, kedua-duanya sarat mengandung.

Tiga sekeluarga itu terseliuh kaki berikutan terjatuh ketika menuruni tangga untuk keluar dari rumah sejurus selepas mercun berkenaan meletup.
Serpihan mercun yang meletup turut ditemui bertaburan di halaman rumah Che Asiah.


Menurut Che Asiah, sebelum kejadian dia sedang berehat di dalam biliknya sementara menunggu azan Zuhur manakala enam ahli keluarganya yang lain berada di ruang tamu menonton televisyen.

Katanya, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi letupan kecil sebelum disusuli dengan bunyi letupan yang kuat sehingga menggegarkan rumah.

“Pada mulanya saya menyangka kanak-kanak bermain mercun. Namun, saya mulai curiga kerana letupan semakin kuat dan berterusan dalam tempoh lebih lima minit.

“Saya mula menyangka ia letupan bom selepas melihat asap semakin tebal sebelum rumah seolah-olah bergegar dan beberapa cermin tingkap rumah pecah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, di sini.

Menurutnya, ketika itu keadaan di dalam rumah kelam-kabut apabila dia dan ahli keluarganya panik serta cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah.

“Saya hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah ketika panik.

“Ketika cuba keluar dari rumah, saya terjatuh di tangga sehingga saya terseliuh. Anak perempuan dan menantu perempuan turut terseliuh di kaki selepas terjatuh ketika menuruni tangga bersama saya,” katanya.

Menantu Che Asiah yang juga suami Nurul Izzah, Mohd Arif Abdullah, 30, berkata, sebelum kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan isterinya selepas terdengar bunyi letupan itu.

“Saya keluar dari bilik selepas isteri memaklumkan mendengar bunyi letupan sebelum saya lihat cermin tingkap di dalam bilik pecah kesan daripada bunyi letupan yang kuat.

“Jika isteri tidak mengejutkan saya, mungkin serpihan cermin yang pecah itu terkena saya,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat Deputi Superintendan Sharifuddin Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, sebelum berlaku letupan, kerja pemunggahan dilakukan dan mercun rampasan itu diletakkan di dalam empat tangki berisi air sebelum semua mercun akan dilupuskan di tapak pelupusan sampah di Pengkalan Nangka, di sini.

“Bagaimanapun, salah seorang pekerja ternampak kepulan asap di salah sebuah tangki berkenaan sebelum mercun di dalam tangki meletup,” kataya.
---Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger