Paku ‘cari makan’
Written By aku on Tuesday, 24 December 2013 | 11:41 am
Kuala Lumpur: Tabur paku besi di lorong laluan motosikal. Itu antara taktik dikesan dilakukan segelintir pengusaha bengkel dan individu tidak bertanggungjawab bertujuan memancitkan tayar kenderaan bagi meraih keuntungan mudah di beberapa laluan motosikal di sekitar ibu kota.
Pengusaha terbabit juga akan meninggalkan nombor telefon bimbit mereka di penghadang jalan dan dinding terowong, malah ada yang melekatkan iklan pada tiang papan tanda jalan raya atau pokok untuk khidmat menukar serta membaiki tayar motosikal yang pancit.
Kegiatan yang sudah lama dilakukan itu dikesan kembali aktif dengan penemuan kira-kira dua kilogram paku besi yang ditabur di sepanjang laluan motosikal berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Khamis lalu.
Bukan itu saja, aktiviti berkenaan juga dipercayai dilakukan orang awam yang menjadikan pekerjaan menukar tiub tayar motosikal sebagai pendapatan sampingan mereka.
Tinjauan Harian Metro di beberapa laluan motosikal sekitar ibu kota mendapati terdapat banyak nombor telefon bimbit mekanik dan penukar tiub motosikal diconteng pada penghadang jalan dan dinding terowong menggunakan dakwat hitam.
Selain paku, terdapat juga individu tidak bertanggungjawab meletakkan peralatan tajam lain seperti skru dan serpihan kaca bertujuan memancitkan tayar.
Kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Azhar, 21, berkata, pengalaman tiga kali menjadi mangsa cukup memberi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati setiap kali melalui laluan motosikal.
“Sepanjang tiga kali terkena, saya terpaksa menghabiskan wang sehingga RM210 hanya untuk menukar tiub tayar motosikal yang pancit. Kadang-kadang saya tidak minta bantuan mereka, tetapi mereka dengan sendiri menukarkan tiub dan meminta bayaran itu.
“Kerana terdesak, saya terpaksa membayar jumlah itu kerana alasan diberikan harga berkenaan termasuk dengan caj perkhidmatan rondaan mereka di kawasan terbabit. Begitu mudah mereka mencari makan,” katanya.
Menurut Azhar, tindakan kumpulan terbabit menyusahkan pengguna jalan raya kerana perbuatan meletakkan paku atau peralatan tajam di laluan motosikal boleh mengancam nyawa penunggang.
Pelajar, Norihan Razali, 24, berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu dihentikan kerana boleh menyusahkan pelbagai pihak terutama golongan wanita yang menggunakan laluan motosikal pada waktu malam.
“Saya pernah menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral ini.
“Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, saya baru pulang dari kelas malam dan tayar motosikal pancit dengan tiba-tiba akibat terlanggar paku.
“Apabila diperiksa terdapat banyak paku bertaburan di sekitar laluan itu. Saya bernasib baik kerana ada seorang pak cik yang lalu secara kebetulan dan membantu saya,” katanya.
Menurutnya, dia mungkin menjadi mangsa rogol atau samun sekiranya berjalan kaki sambil menolak motosikal ketika itu.
--Hmetro
Labels:
Jenayah