Pelajar 18 tahun buang bayi
Written By aku on Wednesday, 25 December 2013 | 5:35 pm
MELAKA: Panik melahirkan bayi di dalam tandas di rumah ibu saudaranya, seorang pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini sanggup membuang bayi itu di luar tandas berkenaan, di Batang Tiga, Tanjung Kling, di sini, malam tadi.
(Gambar Hiasan)
Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, rahsia pelajar perempuan berusia 18 tahun terbabit yang membuang bayinya menerusi ruang antara dinding tandas dan bumbung terbongkar apabila ibu saudaranya berusia lingkungan 60-an curiga selepas hampir sejam dia berada di dalam tandas berkenaan.
Menurut sumber, bimbang sesuatu yang buruk berlaku ke atas pelajar berkenaan, ibu saudaranya ke tandas untuk memeriksa keadaannya dan tekejut melihat lantai dipenuhi dengan darah.
"Pelajar itu mendakwa mengalami pendarahan kerana buasir dan dibawa ke Hospita Melaka oleh ibu saudaranya untuk mendapatkan rawatan.
"Namun, rahsia pelajar berkenaan terbongkar selepas pemeriksaan mendapati dia baru saja melahirkan dan terdapat uri yang masih tertinggal di dalam rahimnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata, pelajar berkenaan ke rumah ibu saudaranya itu untuk bercuti.
Katanya, kira-kira jam 8 malam tadi, suspek masuk ke tandas untuk membuang air namun tidak keluar selepas hampir sejam berada di dalam tandas berkenaan.
"Curiga dengan keadaan itu, ibu saudaranya masuk ke tandas dan mendapati terdapat banyak darah di dalam tandas berkenaan sebelum bergegas membawa suspek ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
"Namun, pemeriksaan mendapati suspek baru saja melahirkan dan hasil soal siasat dia mengakui membuang bayi berkenaan di luar tandas melalui ruang kosong antara dinding tandas dan bumbung" katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di luar tandas rumah berkenaan kira-kira jam 1 pagi tadi menemui mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dengan cukup sifat dan masih bertali pusat.
"Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat, manakala suspek kini dirawat di wad hospital sama dan akan ditahan bagi membantu siasatan.
"Kita masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui sama ada bayi berkenaan mati sebelum atau selepas dilahirkan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
--Hmetro
Labels:
Jenayah