Home » » Rapid Bus beri penjelasan

Rapid Bus beri penjelasan

Written By aku on Sunday, 15 December 2013 | 5:05 pm


KUALA LUMPUR - Pemandu Bas RapidKL yang terlibat dalam kemalangan merempuh sebuah bangunan kedai di Jalan Pudu, kelmarin disifatkan sebagai pekerja yang cemerlang dan berdisiplin.

Pemandu, Suprianto Sirat, 48, merupakan seorang pemastautin tetap yang bertugas sebagai kapten bas sejak 1997 sebelum Intrakota diambil alih oleh RapidKL dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana).

 Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus,  Zohari Sulaiman berkata, pihaknya masih menyiasat insiden berkenaan, namun yakin Suprianto bertindak profesional dalam melaksanakan tugas kerana dia adalah seorang pekerja yang cemerlang.

 Menurutnya, sepanjang berkhidmat, Suprianto sentiasa mendapat markah tinggi dalam penilaian tahunannya dan tidak pernah mempunyai rekod aduan daripada penumpang.

 “Dia amat berdisiplin dan cukup disenangi pihak pengurusan kerana sentiasa bersedia untuk membuat kerja-kerja tambahan.

  “Dia tidak pernah membawa sebarang masalah di depoh dan tiada masalah dengan rakan sepejabat. Beliau pernah diberi surat penghargaan kerana kehadiran cemerlang pada 2010,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

 Dalam insiden lewat petang kelmarin, bas dipandu Suprianto dari Jalan Imbi ke arah Jalan Cheras, terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh dan menembusi bangunan sebuah kedai menjual pam air dan alat-alat jentera di Jalan Pudu.

Zohari berkata, Suprianto turut cedera di bahagian kepala dan buku lali dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sementara tiga penumpang  yang cedera ringan dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar.

 “Kami masih menyiasat insiden itu bersama-sama dengan pihak berkuasa. Kami ingin memohon maaf kepada semua pihak atas segala kesulitan yang timbul. Di peringkat ini, kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

“Apa yang paling penting sekarang adalah untuk memastikan Suprianto, yang kini ditemani isteri dan empat orang anaknya di hospital, segera pulih,” katanya.

 Difahamkan pihak Rapid Bus juga akan bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada pemilik kedai itu, termasuk penumpang yang cedera, menerusi perlindungan insurans.
---Sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger