Usah putar belit isu Pulau Mazu
Written By aku on Sunday, 15 December 2013 | 4:43 pm
GEORGETOWN - Isu Pulau Mazu yang dibangkitkan begitu mudah untuk dijawab kerajaan negeri dan tidak sewajarnya terus diputar belit untuk menampakkan wakil rakyat BN kerap menimbulkan perkara yang menjurus kepada rasis.
Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid (BN-Telok Ayer Tawar) berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya memberi penjelasan seperti yang diminta dan bukan mengalihkan isu dengan mengadakan cerita lain termasuk mengaitkannya cuba menimbulkan isu perkauman.
Menurutnya, beliau bertanya dan nak tahu apa tindakan kerajaan untuk mengatasi isu itu.
“Saya tak kata kerajaan negeri sudah setuju meluluskan nama itu ditukar.
“Bukan nak buat fitnah, saya cuma minta penjelasan dari kerajaan negeri mengenai seorang pengusaha pelancongan yang menukar nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazu Pulau Pinang seperti yang tertera dalam lama sosial Facebook,” katanya.
Bagaimanapun, Jahara kesal kerana Guan Eng pusing cerita dan mendakwa kerajaan negeri tidak pernah setuju atau meluluskan pertukaran itu seperti didakwanya.
“Saya minta kerajaan negeri ambil tindakan segera untuk membuktikan tidak bersubahat dengan pengusaha terbabit kerana terdapat gambar Ketua Menteri dengan seorang lelaki dalam laman sosial itu serta kain rentang bagi satu program yang diadakan di situ.
“Saya juga membangkitkan mengenai bangunan kosong klinik kusta yang diubah suai menjadi sebuah tokong. Saya nak tahu sama ada pembinaannya mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan atau agensi kerajaan lain,” katanya.
Menurutnya, beliau sudah menyemak hansard untuk mengesahkan ucapannya itu dan hanya menyebut pengusaha itu yang memberi nama Mazu dan tidak sesekali menyebut nama kerajaan negeri.
“Saya sudah baca hansard. Yang saya katakan adalah pengusaha itu yang memberi nama Mazu.
“Saya tanya dan minta penjelasan dari kerajaan negeri. Kalau ya, ya lah, kalau tidak, tidaklah. Kenapa nak begitu sensitif dan kebetulan di sana ada tokong Cina dan kuil orang India,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mengambil tindakan segera berhubung pembinaan struktur tokong itu jika dibina tanpa kebenaran kerana ia berada dalam tanah kerajaan negeri seperti yang dijelaskan Guan Eng ketika sesi penggulungan.
“Pulau itu jadi macam pulau pemujaan, sila siasat. Banyak tempat dan juga pokok di situ dijadikan tempat pemujaan.
“Kita bukan cakap kosong dan buat fitnah. Kita ada bukti dalam bentuk gambar dan video mengenai tempat itu. Kita pun ada perbualan dengan penjaga tempat itu,” katanya.
Jahara turut menafikan dakwaan Guan Eng kononnya sengaja nak pilih isu itu.
“Ini adalah aduan terbaru yang kita dapat maklumat. Kita tidak membuat sebarang tuduhan. Kita hanya mahu penjelasan dari kerajaan negeri dan menunjukkan bahawa terdapat kelemahan dalam pemantauan.
“Maklumat terbaru mendapati, pengusaha atau pemilik tokong itu membina tandas dan air dialirkan terus ke laut berhampiran tempat bela ikan. Ikan makan tahi, lepas itu kita pula makan ikan itu,” katanya.
Jahara turut menayangkan rakaman video perbualan dengan seorang lelaki dipercayai penjaga tokong itu untuk mengesahkan kewujudannya.
--Sinar
Labels:
Politik