Home » » Siasat isu ’Istana Runtuh’

Siasat isu ’Istana Runtuh’

Written By aku on Tuesday, 17 December 2013 | 8:39 am


BATU PAHAT – Kerajaan negeri akan menyiasat isu wujudnya sebuah istana lama yang dikenali sebagai ‘Istana Runtuh’ yang terletak berhampiran pusat pentadbiran negeri di Kota Iskandar, Nusajaya.

Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak mengambil peduli bangunan tinggalan sejarah.

Malah pihaknya berhasrat sekiranya kewujudan istana itu benar, kawasan tersebut akan dinaik taraf.

Katanya, satu siasatan terperinci ke atas bangunan tinggalan itu sedang dilakukan termasuk menjejak pemilik dan tahun ia dibina.

“Kami akan pelihara dan mungkin akan naik taraf istana berkenaan jika ia benar-benar tinggalan sejarah bernilai di negeri ini untuk tatapan generasi akan datang.

“Kami (kerajaan negeri) bukan hanya memerhati ‘Istana Runtuh’ ini, kami masih lagi dalam penyiasatan, kami akan peliharanya selain akan mewartakannya sebagai tapak warisan sejarah.

“Buat masa ini biarlah kami melakukan siasatan dengan lebih terperinci, melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) bersama kerajaan pusat, sebagaimana dilakukan di Candi Lembah Bujang, Kedah,” katanya selepas Program Save Old School Car (Batu Pahat) Gathering 2013.

Menurut Zulkurnain, isu berkenaan yang mula tersebar di beberapa laman sosial itu adalah tanda keprihatinan rakyat negeri ini mengenai sejarah.

Katanya, setiap pandangan dan pendapat akan diambil kira untuk tindakan sewajarnya.

“Kepada rakyat Johor yang mempunyai pandangan atau maklumat berkaitan istana ini, mereka boleh berhubung dengan kerajaan negeri untuk berkongsi maklumat berkenaan.

“Selain kerajaan negeri, Persatuan Bangsa Johor (PBJ) juga telah mengambil tindakan untuk mempertahankan istana berkenaan dan berharap rakyat negeri ini tidak melakukan sebarang spekulasi,” katanya.
--sinarharian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger