TNB Jangan hanya fikir keuntungan sahaja – KJ
Written By aku on Wednesday, 4 December 2013 | 3:49 pm
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengingatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya lebih prihatin kepada nasib rakyat dan tidak hanya memikirkan mengenai keuntungan sahaja.
Menurut Khairy yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan, kenaikan tarif elektrik tersebut tidak setara dengan peningkatan kos bahan api yang hanya menguntungkan TNB.
Katanya, kenaikan ini kelihatan seperti mementingkan kantung pemegang saham, bukan rakyat jelata.
“Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif elektrik yang akan naik awal tahun depan.
“Namun kita difahamkan bahawa peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang sudah berbilion ringgit.
“… oleh itu kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain, Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata, tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa,” katanya ketika memberi ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC hari ini, menurut sumber Sinar Harian.
Ucapan Khairy itu mendapat tepukan gemuruh perwakilan.
Memetik laporan Bernama, subsidi elektrik dan gas akan disemak semula, dengan kadar purata tarif elektrik di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen sekilowat sejam (KWJ) kepada 38.53 sen/kwj, berkuat kuasa 1 Januari 2014.
Tarif elektrik semasa ialah 33.54 sen.
Labels:
Semasa