Warga emas ditemui kepenatan
Written By aku on Tuesday, 17 December 2013 | 10:47 am
IPOH – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak 1 Disember lalu selamat ditemui ahli keluarga, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Mat Taib Mustaffa, 63, dijumpai di Kampung Parit Tok Ngah, Parit Buntar tidak jauh dari lokasi kediamannya dalam keadaan letih dan keliru.
Anak mangsa, Mohd Ansar, 24, berkata, sehingga kini, bapanya masih dalam keadaan trauma dan sukar untuk menceritakan keadaan bagaimana boleh berada di lokasi berkenaan.
“Bapa bukan sahaja tidak tahu siapa yang bawa pulang, malah bapajuga tidak tahu siapa yang bawa pergi , dia seolah-olah seperti dipukau,” katanya.
Dalam laporan 11 Disember lalu, Mat Taib yang bertugas sebagai kakitangan kontrak di sebuah sekolah sejak 10 tahun lalu menghilangkan diri dikatakan merajuk apabila gaji bulanannya tidak dibayar hampir setahun.
Sebelum kejadian, dia memaklumkan kepada ahli keluarga ingin keluar sebentar ke pekan Parit Buntar untuk bersiar bersama rakan sekerja.
Mohd Ansar berkata, dokumen diri milik bapanya masih ada, malah wang RM100 yang dibawa juga tidak hilang.
“Tiada sebarang kecederaan ditemui, kami sekeluarga bersyukur kerana semuanya sudah selamat dan harap keadaan bapa akan beransur pulih,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, mangsa enggan ditemui orang ramai kecuali ahli keluarga dan rakan setugas sahaja.
--Sinar Harian
Labels:
Semasa