Home » » 51gerai ‘lenyap’

51gerai ‘lenyap’

Written By aku on Thursday 30 January 2014 | 7:38 pm


Shah Alam: “Hancur hati saya melihat gerai diusahakan sejak 23 tahun lalu musnah sekelip mata dan lebih mengecewakan gerai menjual barangan runcit ini satu-satunya mata pencarian utama saya dan keluarga,” kata peniaga runcit A N Gopal, 81, selepas gerainya di Pasar Baru Sri Muda, Seksyen 25 di sini, terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, 51 daripada 387 gerai menjual pelbagai barangan runcit dan pakaian musnah menyebabkan semua pemiliknya menanggung kerugian kira-kira RM600,000.


Gopal berkata, dia hanya dimaklumkan kebakaran itu oleh seorang rakan yang berniaga di pasar sama kira-kira jam 4 pagi sebelum dia dan ahli keluarganya bergegas ke pasar berkenaan.
Menurutnya, sebaik tiba, api sudah marak membakar gerainya dan beberapa gerai lain dan cubaan menyelamatkan barangan runcit disimpan dalam gerai gagal kerana api marak cepat.


“Rakan menghubungi saya dan meminta terus datang ke kedai. Bagaimanapun, dia hanya meminta datang segera dan tidak memberitahu apa yang berlaku kerana tidak mahu saya terkejut.


“Saya kerugian kira-kira RM100,000 selepas pelbagai barangan runcit seperti beras, tepung dan barangan makanan musnah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, dia kini menunggu laporan lengkap Jabatan Bomba dan Penyelamat selain memikirkan sama ada untuk membuka gerai lain sementara menunggu gerai yang musnah itu dibina semula.


Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Shah Alam Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik tiba 19 minit kemudian.

Menurutnya, pihaknya terpaksa menyembur air di kawasan gerai bersebelahan terlebih dulu bagi mengelak api dari gerai yang terbakar itu merebak ke kawasan bersebelahan.

“Api marak cepat kerana struktur gerai diperbuat daripada kayu. Bagaimanapun, kita dapat mengawal api pada jam 7 pagi dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya sejam kemudian.


“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai bermula di kawasan tengah deretan gerai berkenaan dan pasukan forensik kebakaran dan anjing pengesan sudah dihantar ke tempat kejadian bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
---Harian Metro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger