Home » » Dewan Ulama PAS tolak Anwar jadi MB Selangor?

Dewan Ulama PAS tolak Anwar jadi MB Selangor?

Written By aku on Thursday 30 January 2014 | 9:52 pm


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli PAS digesa supaya tidak membiarkan agenda Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tercapai kerana tindakan itu satu pengkhianatan kepada parti itu.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan kerusi Menteri Besar Selangor yang dipilih oleh PAS menerusi Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang juga tidak sepatutnya ditukar tanpa sebab munasabah.

"Dengan melibatkan diri dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semata-mata untuk memenangkan agenda Anwar juga adalah satu pengkhianatan terhadap PAS. Tidak sewajarnya ahli PAS membiarkan perkara ini berlaku," katanya.

Beliau berkata tindakan licik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menukar jawatan Menteri Besar Selangor menerusi pilihan raya kecil DUN Kajang adalah satu pengkhianatan kepada PAS dan menghina Abdul Hadi.

"Mempertikai Abdul Khalid sebagai Menteri Besar secara berterusan adalah bererti mempertikai kebijaksanaan Presiden PAS.

"Abdul Khalid sebenarnya telah menguruskan kerajaan negeri dengan baik dan masalah berlaku hanya dalam kalangan PKR yang gagal mendapat manfaat peribadi memandangkan beliau amat tegas dalam soal pengurusan kewangan, katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Anwar Ibrahim dinamakan PKR sebagai calon, seandainya pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi DUN Kajang yang dikosongkan oleh wakil rakyat PKR sendiri, Lee Chin Cheh.

Bahkan, pemilihan Anwar dibuat selepas dipersetujui Majlis Pimpinan Rakyat yang bermesyuarat semalam.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh Lee Chin Cheh dengan meletakkan jawatan semalam selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Sewajarnya, tegas Mohd Khairuddin, jawatan Menteri Besar Selangor diserahkan kembali kepada PAS dengan meletakkan Iskandar Samad sebagai calon yang paling layak.

"Apa yang dilakukan PKR ini adalah satu taktik untuk mengelak jawatan Menteri Besar beralih ke tangan PAS. Ini membuktikan sikap mereka yang hanya mengutamakan kepentingan parti sendiri bukannya kepentingan pakatan pembangkang," ujarnya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger