Home » » Guan Eng: Pas sudah bankrap idea

Guan Eng: Pas sudah bankrap idea

Written By aku on Thursday 19 November 2015 | 8:06 am


GEORGETOWN - Pas disifatkan sebagai bankrap idea untuk mengkritik DAP sehingga menggunakan serangan peribadi seperti dilakukan Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng enggan mengikut rentak itu sebaliknya bersetuju dengan kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin mengenai persamaan Pas dan Umno.

“Dia (Mohd Amar) nak buat serangan peribadi, biarlah. Apa yang penting, saya amat setuju dengan kenyataan Dr Asri bahawa Pas hari ini hampir menyamai Umno dari segala segi melainkan perbezaan nama, kopiah dan songkok saja, Jika sudah serupa, 'nikahlah', tunggu apa lagi?

“Saya tidak buat serangan peribadi seperti dia. Jika sebagai ustaz yang berpengalaman nak main serangan peribadi, itu menunjukkan Pas dan Nik Amar sudah bankrap idea. Saya akan biarkan mereka terus buat serangan peribadi,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu, Dr Mohd Asri dilaporkan berkata, Pas kini tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding Umno dan kerjasama antara kedua-dua parti itu mungkin berjaya.

Beliau berkata, kerjasama politik Pas dan Umno kali ini mungkin dapat mencipta kejayaan selepas melihat kepada idealisme dua parti itu pada masa kini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri berkata, DAP tidak masuk campur hal bergabung antara dua parti itu.

“Sebelum ini pun, saya tidak cakap bergabung, saya kata kerjasama secara berterus terang. Jika kita lihat dari beberapa dasar yang dibuat, mereka ambil pendirian yang sama, bajet yang dibentangkan pun tidak menentang. Lebih teruk, Presiden Pas tawar nak jadi penasihat kepada kerajaan BN," katanya.

Kelmarin, Mohd Amar meminta Guan Eng tidak bercakap sesuka hati kerana mencadangkan Pas segera bergabung dengan Umno.

Mohd Amar berkata, Guan Eng sepatutnya belajar menghormati orang lain dan berdiam diri dari melontarkan pandangan yang merapu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger