Home » » Pas rasa dikhianati

Pas rasa dikhianati

Written By aku on Thursday 30 January 2014 | 9:26 pm

SHAH ALAM - Dewan Ulama Pas menggesa PKR mengembalikan kerusi Menteri Besar Selangor kepada parti itu jika benar ada usaha dalaman yang mahu menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatannya sekarang.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, tindakan mempertikaikan kedudukan Abdul Khalid, umpama mempertikaikan kebijaksanaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Presiden Pas telah membuat keputusan bahawa Abdul Khalid dilantik sebagai menteri besar. Jika PKR masih mahu meneruskan tindakan mereka (menukar menteri besar) sama seperti menghina presiden kami.

“Sekiranya benar perlu ditukar menteri besar, secara mudah boleh serahkan kembali kepada Pas dan kami memilih Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, ” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, tiada kewajaran untuk menggugurkan Abdul Khalid kerana sepanjang perkhidmatannya beliau berjaya mengurus kerajaan negeri dengan baik.

Mohd Khairuddin mendakwa kepimpinan Abdul Khalid dikecam berikutan terdapat pihak dalam kalangan PKR yang gagal mendapat manfaat peribadi daripada menteri besar itu.

Beliau turut mendakwa Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dun Kajang sengaja diadakan bagi mengelak jawatan menteri besar itu beralih tangan kepada Pas.

“Ini satu pengkhianatan terhadap rakan tahaaluf siyaasi. Ini merupakan tindakan sangat licik dalam berpolitik untuk kepentingan parti sendiri bukan kepentingan PR.

“Melibatkan diri dengan PRK Kajang semata-mata untuk menenangkan agenda (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid juga satu pengkhianatan terhadap Pas,” katanya.

Beliau juga menggesa ahli Pas bersikap tegas dan tidak membiarkan perkara itu berlaku.

Kelmarin, Pas Selangor memberitahu akan menuntut hak mereka jika kerusi Menteri Besar Selangor itu dikosongkan.

Menerusi Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya akan menghantar senarai nama calon menteri besar kepada Pas pusat dan tindakan itu kerana mengambil kira kelebihan kerusi yang dimiliki Pas dalam Dun Selangor.
---Sinar Harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger