Kebulur pulang kampung
Written By aku on Wednesday, 12 February 2014 | 7:25 am
Pelabuhan Klang: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia sanggup menggadai nyawa menaiki bot kayu yang digunakan untuk mengangkut bakau dalam usaha mereka menyeludup keluar ke negara asal sebelum perbuatan mereka dikesan dalam satu serbuan di muara Sungai Langat, Sepang, Ahad lalu.
Kejadian jam 12.30 malam dikesan sepasukan anggota Cawangan Marin Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor selepas mereka menemui 31 lelaki dan 10 wanita membabitkan dua wanita mengandung berusia antara 20 hingga 50-an yang dalam perjalanan keluar dari muara ke Selat Melaka.
Difahamkan, perjalanan ke Indonesia sejauh 45 kilometer (km) yang mengambil masa beberapa jam menggunakan bot berkuasa rendah itu tidak menghalang kumpulan warga Indonesia berkenaan pulang kerana percaya ia sukar dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakan itu nyata meleset kerana mereka tidak terlepas pandangan agensi penguatkuasaan yang sering memantau pergerakan keluar masuk kapal di perairan negara.
Pengarah JKDM Selangor Badaruddin Mohamed Rafik berkata, lima anggotanya yang sedang melakukan rondaan rutin, terserempak bot dipandu tiga lelaki yang juga tekong bot ketika mereka baru saja tiba di muara sungai berkenaan untuk ke negara jiran.
Menurutnya, bot berkenaan ditemui dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka diarahkan berhenti dan diperiksa.
“Selepas diperiksa, anggota JKDM menemui kumpulan pendatang tersorok di satu kawasan sebelum mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum dibawa ke lokap JKDM. “Ketika ditahan mereka didapati dalam keadaan letih serta lapar kerana mungkin bersembunyi tanpa makan dan minum sebelum menaiki bot selain terpaksa berhimpit dalam bot sepanjang 15 meter itu,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam di Westport, semalam.
Labels:
Jenayah