Mayat reput ditemui terapung
Written By aku on Wednesday, 5 February 2014 | 11:54 am
KEMAMAN - Mayat seorang lelaki tanpa pakaian ditemui terapung dalam keadaan terlentang kira-kira enam batu nautika timur perairan Tanjung Gelang, Kuantan, pada jam 11 pagi, semalam.
Berdasarkan keadaan mayat yang telah reput dan kembang, dipercayai mangsa sudah seminggu meninggal dunia.
Mayat yang tidak diketahui identiti itu kemudian dibawa ke Pangkalan Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kemaman di Bukit Kuang, Kijal, kira-kira jam 12.40 tengah hari oleh Kapal Maritim (KM) Bagahak.
Penolong Pegawai Memerintah KM Bagahak, Leftenan Dya Zainal Abidin Abu Bakar berkata, berpandukan maklumat daripada nelayan bot fiber, KM Bagahak dengan keanggotaan lapan anak kapal bergerak dari Pangkalan Maritim APMM Kemaman pada jam 10 pagi.
“Kita menemui mayat ini dengan bantuan dua nelayan yang menaiki sebuah bot fiber yang menunggu di lokasi mayat ini terapung.
“Kita mengambil masa kira-kira setengah jam untuk menaikkan mayat ini ke dalam kapal sebelum bergerak kembali ke pangkalan jam 11.30 pagi,” katanya.
Jarak lokasi mayat itu ditemui dengan Pangkalan Maritim Kemaman adalah sejauh kira-kira 17 batu nautika.
Kata Zainal Abidin, mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi berkata, mayat tersebut dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti identiti mangsa dan mengetahui punca kematian.
Polis Dungun turut membawa waris nelayan yang jatuh ke laut dalam kejadian 23 Januari lalu di muara Kuala Dungun ke Hospital Kemaman untuk mengenal pasti sama ada mayat yang ditemui itu adalah mayat mangsa.
Dalam kejadian dua minggu lalu itu, Muhammad Ariffin, 40, tercampak daripada bot dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun dan mangsa masih belum ditemui sehingga sekarang
--sinar
Labels:
Semasa