Home »
» Ibu pergi kerja, pesawatnya meletup, kata anak ketua pramugari MH17
Ibu pergi kerja, pesawatnya meletup, kata anak ketua pramugari MH17
Written By aku on Tuesday, 22 July 2014 | 12:36 pm
Setiap kali ditanya tentang ketua pramugari Azrina Yakob, anak kecil beliau Aqil Rais Mohd Rafliz akan menjawab ibunya keluar bekerja dan pesawatnya meletup.
"Bila orang tanya dia selalu kata begitu. Tapi saya rasa dia tak faham apa dia cakap. Kemudian dia akan terus bermain dan kadangkala mengusik adiknya, Arissa Raisya, 3, tentang ibu mereka," kata abang ipar Azrina, Zulkifli Abdul Rahman.
Azrina, 41, merupakan salah seorang daripada dua ketua pramugari dalam pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada Khamis lalu.
Penerbangan daripada Amsterdam ke Kuala Lumpur itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal dan tiga bayi.
Zulkifli yang berkahwin dengan kakak Azrina berkata, Aqil Rais, 6, tak merasai kehilangan ibunya kerana mempunyai sepupu untuk bermain.
"Dia budak kecil. Walaupun ayahnya menjelaskan perkara sebenar, dia tidak banyak memberikan respons.
"Dia sudah biasa ditinggalkan apabila ibunya keluar bekerja. Mungkin dia akan mula terasa apabila semua orang tiada di rumah," katanya.
Menurut Zulkifli, beliau hanya mengetahu pesawat dinaiki adik iparnya ditembak jatuh selepas dimaklumkan suami Azrina.
"Dua kali dia cuba menghubungi isteri saya tetapi kami waktu itu sudah tertidur. Kali ketiga dia berjaya menghubungi kami," katanya.
Katanya, beliau sekeluarga seakan tidak percaya dengan apa yang terjadi.
"Bagaimana mereka boleh tembak jatuh pesawat komersial? Ini tindakan tidak bertamadun. Perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi," katanya.
Walaupun keluarganya mahu dalang di sebalik kejadian dihukum, baginya perkara paling penting sekarang memastikan tapak nahas dijadikan kawasan selamat untuk pasukan penyelamat menjalankan kerja mereka dan mayat dapat diambil.
"Dunia perlu memberi tekanan kepada Ukraine supaya memastikan pasukan kita selamat masuk dalam kawasan itu," katanya.
Katanya, semua ahli keluarga termasuk suami, adik beradik dan ibu bapa Azrina redha dengan pemergian Azrina.
Namun mereka mempunyai satu hajat – agar mayatnya dibawa pulang supaya dapat dikebumikan mengikut cara Islam.
"Satu hari bila anak-anak sudah besar mereka boleh ziarah kubur arwah. Itu hajat kami. (Tetapi) Kalau tak boleh disebabkan isu keselamatan, maka kami redha," katanya.
Katanya, sejak insiden itu kediaman Azrina di Sungai Pelek, dekat Sepang, tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai.
"Sahabat dan saudara datang memberikan sokongan moral. Azrina amat disenangi, seorang yang ceria dan komited dengan tugasnya. Beliau suka terbang," katanya.
Bagaimanapun, suami Azrina dan anaknya ketika itu tidak kelihatan.
"Dia tidak mahu ditemuramah atau ditanya soalan. Fikirannya serabut. Dia putuskan untuk terima tawaran MAS tinggal di hotel di Putrajaya.
"Ibu bapa dan dua anak Azrina turut dibawa bersama," katanya. – 20 Julai, 2014.
The Malaysian Insider