Jurujual rokok elektronik diberkas
Written By aku on Thursday, 24 July 2014 | 5:34 pm
KUALA LUMPUR – Seorang jurujual rokok elektronik, dipercayai pengedar dadah, diberkas di tapak parkir sebuah kondominium di Danau Impian, Taman Desa, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM12,000.
“Kita memberkas duda anak dua itu ketika dia sedang memasukkan sebuah beg pakaian di dalam kereta jenis Hyundai Sonata di tapak parkir kondominium itu kira-kira jam 11.30 malam,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya mendapati sebuah beg kecil yang berisi pelbagai jenis dadah di dalam beg pakaian itu.
“Kita merampas pelbagai jenis dadah antaranya 290 biji pil ekstasi seberat 85.5 gram, ketamin seberat 50.3 gram, ganja seberat 20.2 gram dan syabu seberat 20.2 gram,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan ujian air kencing terhadap suspek berusia 47 tahun itu mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek mengaku dadah yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan sendiri. Bagaimanapun, kita percaya dadah tersebut juga turut diedar sekitar Lembah Klang,” katanya.
Suspek direman sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Labels:
Jenayah