Home » » Serang adik guna batang besi

Serang adik guna batang besi

Written By aku on Wednesday, 23 July 2014 | 7:49 am


KAMPUNG RAJA (BESUT) - Hasrat dua beradik mahu membawa kakak ipar melawat anaknya yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan bertukar tragedi apabila diserang abang mereka sendiri dalam kejadian di Kampung Tok Motong, dekat Jertih Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 37 tahun bersama seorang adik lelakinya pergi ke rumah abang sulung mereka.

Menurutnya, mereka datang ke rumah suspek berusia 41 tahun untuk membawa isteri suspek ke HUSM bagi melawat anak perempuan suspek berusia 16 tahun yang dirawat di hospital berkenaan.

“Bagaimanapun dikatakan suspek tidak mengizinkan isterinya pergi menyebabkan berlaku pertengkaran antara tiga beradik itu.

“Suspek dikatakan pada mulanya sekadar memaki hamun dua adiknya dengan kata-kata kesat, tetapi tiba-tiba bertindak agresif apabila menyerang mereka menggunakan sebatang besi,” katanya.

Noorzainy berkata, akibat pergaduhan itu, mangsa dan adiknya mengalami kecederaan.

Susulan kejadian, mangsa yang bekerja sebagai mekanik membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang ingin membawa kakak ipar mereka ke hospital selain masalah keluarga antara mereka yang sudah lama berlaku. Selain itu, mangsa mendakwa suspek seorang yang panas baran,” katanya.

Kata Noorzainy, polis telah mengenal pasti suspek, namun belum ada tangkapan setakat ini.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah.
--sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger