Home »
» TEKS PENUH USUL MENGENAI TRAGEDI PESAWAT MH17 OLEH PM DI DEWAN RAKYAT
TEKS PENUH USUL MENGENAI TRAGEDI PESAWAT MH17 OLEH PM DI DEWAN RAKYAT
Written By aku on Wednesday, 23 July 2014 | 2:19 pm
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Berikut teks penuh Usul Mengenai Tragedi
Malang Yang Menimpa Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada 17 Julai 2014,
yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Dewan
Rakyat pada Rabu:
Tuan Yang Dipertua,
1. Kira-kira jam 11 malam, pada hari Khamis 17 Julai 2014, bersamaan 19
Ramadan 1435 Hijrah, satu tarikh yang tidak akan luput dalam ingatan, apabila
saya menerima panggilan daripada Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor
Yusof, berkaitan MH17.
2. Ternyata, belum pun reda tragedi MH370, kini peristiwa tragik MH17
berlaku tanpa diundang.
3. Bahawa, atas ketentuan Ilahi jua, satu peristiwa tragik telah berlaku.
Dunia secara umum dan khususnya kita rakyat Malaysia, telah dikejutkan dengan
tragedi tidak terduga, apabila pesawat komersial Boeing 777-200 Malaysia
Airlines penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur diberitakan terhempas.
4. Dalam tempoh kurang dua jam, saya telah tiba di bilik operasi MAS KLIA,
bersama beberapa orang Menteri. Kami diberi taklimat daripada pihak pengurusan
MAS tentang apa yang berlaku. Setelah itu, tanpa berlengah, saya tidak
putus-putus menghubungi dan dihubungi oleh beberapa pemimpin dunia antaranya
Presiden Obama dari Amerika Syarikat, Perdana Menteri Mark Rutte dari negara
Belanda dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko tentang musibah yang terjadi.
5. Selepas itu, lebih kurang pukul 2 pagi, saya telah membuat keputusan
segera untuk menghantar pasukan khas ke kawasan bencana tersebut.
6. Akhirnya, sekitar jam 5 pagi, saya telah mengadakan sidang akhbar khas,
untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia dan seluruh dunia, tentang apa
sebenarnya yang sedang berlaku pada ketika itu.
7. Untuk makluman dewan yang mulia ini, penerbangan tersebut berlepas
kira-kira jam 12.15 tengah hari waktu tempatan, dijadualkan tiba di KLIA pada
jam 6.10 pagi waktu Malaysia. Pesawat itu membawa sejumlah 298 orang, yang
terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. Seramai 43 orang daripadanya
merupakan warganegara Malaysia termasuklah dua orang bayi.
8. Pihak Malaysia Airlines turut mengesahkan menerima makluman daripada
Pusat Kawalan Trafik Udara atau ATC, Ukraine yang ia terputus hubungan dengan
pesawat MH17 pada pukul 10.15 malam waktu tempatan, kira-kira 50 kilometer dari
sempadan Rusia-Ukraine.
Pernyataan Takziah dan Belasungkawa
Tuan Yang Dipertua,
9. Justeru, bagi mewakili pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya
menzahirkan perasaan amat dukacita, rasa sangat sedih dan kepiluan yang amat
sangat terhadap tragedi yang menimpa penumpang-penumpang serta anak-anak kapal
pesawat MH17.
10. Lanjutan itu, ucapan takziah dan belasungkawa serta simpati yang sangat
mendalam juga, terutama kepada seluruh anggota keluarga, rakan taulan dan
kenalan mangsa-mangsa tragedi. Adalah diharapkan semoga mereka semua terus cekal
dan tabah dalam menempuh dugaan yang amat berat lagi mencabar ini.