Kegiatan licik terbongkar
Written By aku on Wednesday, 6 August 2014 | 12:53 pm
KOTA BHARU – Gerak-geri seorang lelaki berwajah kacak mencuri tablet di sebuah kedai kain di Bazar Buluh Kubu, di sini, 2 Ogos lalu terbongkar selepas perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pemilik kedai terbabit.
Lebih memalukan apabila gambar dan video berdurasi selama 3.56 minit itu kini tersebar serta menjadi viral di laman sosial Facebook.
Rakaman tersebut memaparkan pergerakan seorang lelaki berusia 20-an yang memakai baju T berwarna biru cerah dan berseluar kelabu serta berkasut biru gelap sedang memilih kain.
Namun, tiba pada minit ke 3.51 dalam rakaman itu, lelaki berjanggut nipis tersebut dilihat perlahan-lahan mengambil tablet berjenama Samsung yang diletakkan di atas meja kaunter dengan tangan kanan dan menyorokkan ke dalam baju sebelum berjalan keluar dari kedai terbabit.
Tidak sangka jadi mangsa
Sinar Harian menemui pemilik kedai, Farezah Ramli, 33, di kedainya di Bazar Buluh Kubu bersebelahan Pasar Siti Khadijah, di sini, semalam.
Menceritakan kejadian itu, Farezah berkata, dia tidak menyangka akan menjadi mangsa kerana sebelum ini dia ada terdengar heboh diperkatakan berlaku kejadian curi di bazar itu sejak sebulan lalu.
Menurutnya, lelaki terbabit datang dari arah kanan laluan pejalan kaki lalu masuk ke kedainya pada jam 1 tengah hari dan berpura-pura mahu membeli kain.
“Ketika itu, saya anggap dia hanya mahu melihat-lihat sahaja tetapi apabila diberitahu dia ingin mengambil kain secara borong untuk dijual di pasar malam, saya layan dia seperti biasa,” katanya.
Pun begitu, Farezah mula mengesyaki sesuatu tidak kena kerana lelaki terbabit seperti melengah-lengahkan pergerakannya menyebabkan dia berhati-hati dan sentiasa memerhatikan lelaki itu.
“Dalam keadaan saya beringat-ingat, seorang pelanggan tetap saya datang dan bertanyakan tudung yang ditempah. Ketika saya berbual dengan pelanggan wanita tersebut, tidak sampai pun seminit saya berpaling ke dalam kedai melihat lelaki berkenaan telah berjalan keluar.
“Lima minit selepas itu baru saya perasan tablet milik anak yang diletakkan di atas meja hilang,” katanya.
Kejadian pertama
Farezah berkata, kejadian itu yang pertama dialaminya selepas 10 tahun berniaga dan lima tahun membuka kedai di bazar tersebut.
“Sepanjang berniaga, saya sentiasa memasang CCTV dan ketika kejadian, anak saya bermain permainan video melalui televisyen yang ada di dalam kedai tetapi rakaman tetap terpasang dan gambar lelaki itu jelas menunjukkan dia mencuri tablet berkenaan,” katanya.
Mangsa yang kerugian kira-kira RM1,500 kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kota Bharu, Superintendan Idris Abdul Rafar mengesahkan menerima laporan dan suspek berusia 24 tahun itu kini diburu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, lapor Sinar Harian.
Labels:
Jenayah