Home » » Helipad dibina di Pulau Perhentian Kecil

Helipad dibina di Pulau Perhentian Kecil

Written By aku on Friday 7 August 2015 | 7:34 pm


BESUT - Sebuah tapak pendaratan helikopter (helipad) akan dibina di kawasan penempatan penduduk di Pulau Perhentian Kecil dalam menghadapi musim tengkujuh yang lazimnya berlaku hujung tahun.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, kawasan pendaratan helikopter itu penting berada di kawasan penempatan penduduk di Pulau Perhentian Kecil, bagi memudahkan penghantaran bekalan makanan dan tugas-tugas menyelamat.

"Fenomena ombak besar tahun lalu, bekalan makanan yang dihantar melalui pendaratan helikopter di Pulau Perhentian Besar gagal disampaikan untuk penduduk di Pulau Perhentian Kecil, sebab itu kami memutuskan untuk membina satu di sana," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada Program Pengurusan Bencana Peringkat Komuniti Daerah Besut yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Datuk Che Gayah Ismail di sini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu kelulusan kerajaan negeri Terengganu bagi mengeluarkan peruntukan khas untuk pembinaan helipad itu.

Tengku Zaihan berkata, Program Pengurusan Bencana itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada penduduk Kuala Besut yang setiap tahun menghadapi fenomena ombak besar di beberapa buah kampung yang berada di tepi pantai agar tidak mudah
panik dan lebih bersedia. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger