Home » » Ibu muda dipenjara

Ibu muda dipenjara

Written By aku on Thursday, 17 September 2015 | 2:02 pm


KOTA BHARU - Pengajaran buat seorang ibu muda kepada dua cahaya mata kerana kesalahan memiliki wang palsu berjumlah RM600, dia dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Hakim, Mohd Yusoff Yunus selepas tertuduh, Nur Nadia Natasha Che Yin, 23, mengaku salah atas tuduhan itu.

Dia didakwa memiliki enam not RM50 palsu di hadapan sebuah kedai di Jalan Bayam, di sini, pada jam 4.45 pagi, 31 Ogos lalu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan merayu hukuman dikurangkan dengan mengambil kira usia yang masih muda.

“Tertuduh tamat pelajaran di tingkatan lima dan perlu menyara dua anaknya berusia 2 tahun serta sebulan. Pada usia ini, tertuduh perlu diberi peluang memperbaiki diri dan hukuman pemenjaraan yang lama akan mendedahkan tertuduh kepada perkara lebih negatif,” kata peguam.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mariah Omar yang mengendalikan kes itu bagaimanapun memohon mahkamah memutuskan satu hukuman setimpal yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain.

Mohd Yusoff kemudian mengarahkan hukuman berkuat kuasa daripada tarikh tertuduh ditahan, 31 Ogos lalu.

Tertuduh ditahan ketika menunggang motosikal bersama seorang lelaki oleh pasukan rondaan cegah jenayah sebelum menyerahkan satu beg berisi pisau lipat dan duit palsu tersebut.

Dalam perkembangan sama, tertuduh juga mengaku salah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin kerana memiliki 2.57 gram dadah jenis metamphetamine pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Hukuman terhadapnya ditangguhkan 3 November depan untuk mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger