Home » » Tazi Pomen berdepan tali gantung

Tazi Pomen berdepan tali gantung

Written By aku on Friday, 18 September 2015 | 12:39 pm


KOTA BHARU – Seorang mekanik juga ketua sindiket pengedaran dadah bergelar Tazi Pomen berdepan hukuman mati selepas dihadapkan atas tuduhan mereka alatan untuk tujuan pengedaran 2.2 kilogram dadah di mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tazi Pomen atau Mohd Tanazi Ismail, 36, didakwa melakukan kesalahan itu bersama isteri, Nor Azilawatie Mohamad, 30, dan dua rakan Tazi, Muhamad Fazley Fathil, 30, serta Nor Azli Ariffin, 35. Tiada pengakuan direkodkan pada prosiding itu.

Mereka didapati melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan bagi tujuan pengedaran 2.2 kilogram dadah jenis metamphetamine di alamat Jalan Perol, Kampung Kubang Laka, Peringat, di sini, pada jam 1.20 pagi, 3 September lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati mandatori.

Dakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana  Md Zukri dan mereka diwakili peguam, Mohd Faizal Hazim Abdul Rahman.

Semalam, tertuduh masing-masing ditemani ahli keluarga yang hadir mendengar pertuduhan dan Nor Azilawatie dilihat menangis. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 November depan.

Dalam perkembangan sama, Mohd Tanazi bersama dua lagi rakan lain, Mohamad Adella Othman, 23, dan Mohd Zailani Ismail, 34, mengaku tidak salah memiliki 0.1 gram dadah jenis sama, pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Dua rakannya itu dibenarkan diikat jamin RM3,800 dengan setiap penjamin dan kes akan disebut semula pada tarikh sama akan datang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kegiatan sindiket licik terbabit tumpas selepas lima bulan aktif menjalankan kegiatan mencetak pil kuda (WY) menggunakan satu alat yang dicipta suspek utama dari salah satu komponen kereta.

Mesin tersebut digunakan untuk menukar serbuk dadah ke bentuk pil dan dapat menghasilkan 600 pil dalam operasi beberapa jam pada satu-satu masa. Mesin itu digerakkan menggunakan tenaga tangan manusia seperti membuat cendol.-- sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger