Home » » Nyaris lemas di Pantai Bukit Keluang

Nyaris lemas di Pantai Bukit Keluang

Written By aku on Friday, 18 September 2015 | 12:49 pm


BESUT - Tindakan pantas sepasukan anggota JPAM Besut berjaya menyelamatkan dua rakan baik yang nyaris lemas di Pantai Bukit Keluang dekat sini, kelmarin.

Pegawainya, Suhaimi Awang berkata, kejadian itu disedari anggotanya yang bertugas di menara tinjau Pantai Bukit Keluang kira-kira jam 4.21 petang.

Menurutnya, seorang anggotanya  di menara tinjau berkenaan ternampak kedua-dua mangsa terkapai-kapai di permukaan air kira-kira 100 meter dari pesisir pantai.

“Lima anggota JPAM yang bertugas pada waktu itu, termasuk seorang bersedia di pantai, berenang ke arah mangsa.

“Namun keadaan ombak besar dianggarkan setinggi semeter itu menolak anggotanya ke tepi pantai ketika usaha menyelamat dilakukan, sekali gus menyukarkan pihak kami untuk pergi mendapatkan mangsa,” katanya.

Suhaimi berkata lagi, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit berenang sebelum berjaya mendapatkan kedua-dua mangsa lemas itu dengan seorang daripada mangsa hampir tenggelam.

Katanya, walaupun berdepan kesukaran namun anggotanya berjaya membawa kedua-dua mangsa yang masih dalam keadaan sedar dan tidak bermaya ke pantai.

“Mangsa bernasib baik kerana kejadian yang menimpa mereka disedari anggota bertugas dan segera menghulurkan bantuan.

“Jika terlambat sedikit, kami percaya kejadian lebih buruk akan menimpa mereka berdua,” katanya.

Tambah Suhaimi, kedua-dua mangsa adalah rakan baik yang dikenali sebagai Wan Hanif Ruslan dari Kampung Tok Saboh dan Che Aidilazramukmin Che Md Yahya dari Kampung Nail, Kuala Besut.

Menurutnya, mereka yang dianggarkan berusia sekitar 11 dan 12 tahun pergi ke pantai itu sendirian dan punca kejadian dipercayai berlaku apabila Wan Hanif dihanyutkan arus ke tengah laut dan lemas, sementara Che Aidilazramukmin cuba menghulurkan bantuan.

“Disebabkan keadaan ombak besar menyebabkan Che Aidilazramukmin turut lemas dan tidak berjaya menghampiri rakannya,” katanya.

Menurutnya, selepas memberi bantuan dan rawatan awal, kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger