Home » » Jangkitan HIV di kalangan penagih menurun

Jangkitan HIV di kalangan penagih menurun

Written By aku on Sunday 13 September 2015 | 2:33 am


BESUT - Kes jangkitan HIV/Aids di kalangan penagih dadah suntikan di Terengganu menunjukkan penurunan dari 292 kes pada tahun 2010 kepada 118 kes pada tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia merupakan satu kejayaan melalui usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) termasuk mengadakan rawatan melalui pemberian methadone di enam buah hospital dan 33 buah pusat kesihatan di seluruh negeri kepada para penagih yang mendapatkan rawatan.

Katanya, sejak mencatat kes HIV pertama di Terengganu pada tahun 1988 sehinggalah Jun tahun ini, sebanyak 9,433 kes HIV telah didaftarkan di negeri ini.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,173 kes berpunca daripada risiko perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah suntikan, manakala 856 kes daripada risiko seksual," katanya selepas melancarkan Kembara Sihat Tanpa Aids 2015 dengan tema "Eksplorasi Menuju Sifar" di perkarangan Masjid Kampung Lak Lok, Jerteh di sini hari ini.

Ucapannya dibaca oleh Adun Kuala Besut,Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohammad Omar.

Seramai 312 peserta Jabatan Kesihatan Negeri dengan menggunakan 74 buah kenderaan mengambil bahagian dalam eksplorasi sejauh 423 kilometer dari Jerteh ke Lumut, Perak.

Menurut Ahmad Razif, pada masa ini terdapat seramai 2,400 penagih dadah yang masih menjalani rawatan melalui pengambilan methadone di seluruh negeri ini.

Namun begitu katanya, jangkitan kes HIV akibat risiko seksual menunjukkan peningkatan berikutan sebanyak 83 kes dilaporkan pada tahun lalu berbanding hanya 55 kes pada tahun 2010.

Katanya, justeru itu tindakan akan dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dengan mengadakan aktiviti menyedarkan penduduk terutama para remaja dan anak muda dengan mengalakkan mereka menjalani kehidupan yang sihat.

"Remaja akan diberikan pendedahan bagi menjauhkan aktiviti berisiko seperti seks luar nikah dengan penglibatan sepenuhnya semua jabatan dan pihak berkuasa bagi mengelakkan masalah HIV/ Aids tidak meningkat di Terengganu," katanya. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger