Home » » Denda jika gagal patuhi standard

Denda jika gagal patuhi standard

Written By aku on Saturday, 31 October 2015 | 4:44 am


KUALA TERENGGANU - Agensi dan jabatan kerajaan yang gagal mematuhi standard pengurusan rekod seperti yang diperuntukkan dalam Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) boleh dikenakan tindakan.

Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara, Faridah Ishak berkata, melalui akta itu ketua jabatan atau agensi berkenaan yang didapati gagal mematuhinya boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau setahun penjara jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun menurutnya, Arkib Negara masih menggunakan pendekatan berhemah dengan memberi khidmat nasihat dan bimbingan untuk memastikan setiap agensi mematuhi dan melaksanakannya sebelum tindakan tegas diambil.

“Walaupun akta tersebut sudah lama wujud, tetapi ia tidak diketahui secara menyeluruh dan masih terdapat banyak pihak yang mengabaikannya.

“Mungkin kurang pengetahuan mengenai kepentingan rekod tersebut disimpan dan diurus dengan baik. Oleh itu, Arkib Negara sentiasa bekerjasama dan memberi nasihat serta bimbingan kepada agensi dan jabatan kerajaan untuk memastikan mereka patuhi standard pengurusan rekod yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Cakna Pelan Tindakan Bencana Rekod: Selamatkan Rekod Warisan Negara di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT ) di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Arkib Negeri, Mohd Nasir Ismail dan Pengarah PPAT, Datuk Nor Akmal Abdul Fatah.

Faridah berkata, ketika banjir di Kelantan dan Terengganu akhir tahun lalu, kira-kira 150,000 rekod atau 4,125 meter panjang musnah dan tidak dapat diselamatkan membabitkan rekod di lebih 40 jabatan kerajaan.

Daripada jumlah itu, Kelantan mencatatkan jumlah rekod yang musnah iaitu 143,219 buah atau 3,580 meter panjang, manakala di Terengganu 6,000 buah atau 545 meter panjang.

Sehubungan itu, Arkib Negara menyarankan supaya setiap jabatan mewujudkan Pelan Tindakan Bencana Rekod dalam mengambil tindakan yang perlu sebelum, semasa dan selepas bencana.

“Pelan itu sebagai rujukan dan panduan bagi membantu jabatan dalam menghadapi bencana dan langkah pemuliharaan rekod selepas bencana," katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan keperluan itu, Arkib Negara juga bercadang mengadakan program seumpama itu setiap tahun sebagai program wajib bagi mendedahkan agensi dan jabatan kerajaan dengan ilmu pengurusan rekod bagi membolehkan rekod dapat diselamatkan.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger