Home » » Jaga kebersihan rumah, kampung

Jaga kebersihan rumah, kampung

Written By aku on Saturday, 31 October 2015 | 4:45 am


KUALA BESUT - Isu kebersihan persekitaran rumah dan kampung perlu ditangani secara bersama untuk menjamin persekitaran bebas dari pembiakan nyamuk aedes, seterusnya dapat mencegah demam denggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, masalah kebersihan tidak akan selesai atau berjaya sekiranya hanya kelompok atau individu sahaja yang menjaga kebersihan halaman dan rumah mereka.

Menurutnya, sebaliknya masyarakat perlu bersatu hati membersihkan kawasan rumah masing-masing agar serangan demam denggi tidak berlaku.

“Sekiranya rumah kita sahaja bersih, tetapi rumah jiran kita tidak bersih, nyamuk aedes daripada kawasan tersebut boleh menggigit kita. Sebab itu semua pihak perlu ambil tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Gotong-Royong Bersepadu Pelancaran Combi Pekan Lama Kuala Besut dan Program Kawalan Infeksi Leptospirosis (Kencing Tikus) Peringkat Daerah Besut 2015 di Kuala Besut.

Hadir sama, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Pegawai Daerah Besut, Datuk A Rahim Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Razan Ab Samat.

Justeru katanya, kerajaan meminta kerjasama masyarakat membersihkan rumah masing-masing dan menghapuskan tempat pembiakan aedes di sekitar rumah dan di dalam rumah masing-masing.

Menurutnya, majoriti masyarakat sedar bahaya denggi, namun daripada aspek menjaga kebersihan masih tidak memuaskan  kerana banyak tempat berpotensi sebagai tempat pembiakan Aedes dijumpai setiap kali pemeriksaan dijalankan.

“Demam denggi tikus dapat dielak dan dikawal jika masyarakat benar-benar mengamalkan kebersihan dan pencegahan dengan mematuhi kempen dilakukan Jabatan Kesihatan,” katanya.

Muhammad Pehimi berkata, walaupun kes demam denggi di negeri menunjukkan peningkatan kepada 971 kes sepanjang tahun ini termasuk 88 kes di Besut, namun ia masih rendah berbanding beberapa negeri lain.

Menurutnya, setakat ini tiga kes kematian direkodkan di negeri ini iaitu masing-masing satu kes di Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut.

“Bagi kes di Besut, mangsa mendapat jangkitan daripada luar negeri ini,” katanya.

Muhammad Pehimi turut mengingatkan agar masyarakat perlu berhati-hati jangkitan kencing tikus yang boleh memudaratkan manusia.

Menurutnya, walaupun tiada kematian direkodkan pada tahun ini, namun masyarakat perlu berwaspada kerana banyak kes jangkitan telah dilaporkan setakat ini.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger