Home » » Dap Bimbang Kerjasama Politik UMNO-Pas Hancurkan Hasrat Mereka Kuasai Negara – Norman Toha

Dap Bimbang Kerjasama Politik UMNO-Pas Hancurkan Hasrat Mereka Kuasai Negara – Norman Toha

Written By aku on Wednesday 18 November 2015 | 8:37 am


KUALA LUMPUR, 16 Nov – Bekas Setiausaha Agung Pas Negeri Selangor, Norman Toha menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Dap Kebangsaan, Lim Guan Eng berhubung undi Pas sama seperti memberikan undi kepada UMNO merupakan satu gambaran ketakutan Dap tentang desas-desus Pas akan menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO.

Menurut beliau, Dap sedar sekiranya Pas menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO, maka peluang serta hasrat mereka untuk menguasai pentadbiran negara akan hancur.

“Sekiranya jalinan kerjasama antara Pas dan UMNO ini benar-benar berlaku, maka bagi saya jangan mimpilah Dap mahu menguasai pentadbiran negara, malah misi mereka selama ini untuk memecah-belah dan melemahkan parti-parti teras Melayu juga akan gagal.

“Sebab itulah kita lihat hari ini Dap begitu rancak menyerang Pas dan juga UMNO kerana terdapat usaha yang cuba untuk menimbulkan kebencian di kalangan penyokong Pas dan pembangkang terhadap Pas dengan mendakwa bahawa parti itu akan menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

“Apa yang dilakukan oleh Dap ini menggambarkan seolah-olah mereka amat takut dengan gerakan perpaduan orang Melayu khususnya di dalam politik. Tindakan mereka menghentam Pas dalam isu Islam, kemudian memberikan gambaran negatif tentang desas-desus jalinan kerjasama antara Pas dan UMNO, jelas memperlihatkan mereka begitu takut dan mahu menghalang gerakan perpaduan Melayu di dalam politik negara hari ini,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Lim Guan Eng yang membuat kenyataan tersebut ketika berucap di Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2015 semalam turut  mendakwa bahawa Pas kini telah berpihak kepada UMNO. Dalam ucapannya, Guan Eng juga menegaskan bahawa Dap mesti kekal di Selangor bagi menghalang Pas berbuat jahat di negeri tersebut.

Berhubung kenyataan itu, Norman turut meminta Guan Eng menjelaskan definasi jahat sepertimana kenyataannya bahawa Dap perlu kekal di Selangor untuk memastikan Pas tidak dapat berbuat jahat di negeri tersebut.

“Guan Eng berkata Dap mesti kekal di Selangor untuk halang Pas buat jahat. Dia ambil contoh kenyataan Husam tentang isu pembalakan di Selangor. Dia kata, hutan simpan pun Pas benarkan buat pembalakan seperti yang didedahkan oleh Husam Musa.

“Persoalannya, ketika pembalakan itu berlaku, Husam Musa turut menjadi exco kerajaan negeri. Bahkan dia diketahui umum merupakan individu yang rapat dengan bekas MB Kelantan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, sehingga dianggap sebagai penasihat tidak rasmi pada beliau.

“Mengapa Husam tidak halang perkara itu jika benar ia salah dan melanggar undang-undang. Jadi dalam hal ini, jika Dap mengatakan bahawa Pas di Kelantan adalah jahat, bermakna Husam juga tergolong dalam golongan yang jahat. Jadi agak pelik mengapa Dap mahu mengambil contoh dan mendengar perkataan dari orang yang dianggap jahat oleh mereka dalam isu ini?” ujarnya.-MediaUMNO

Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger