Makhluk halus bukan punca kemalangan di LPT2
Written By aku on Wednesday, 11 November 2015 | 7:37 pm
Kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) bukan berpunca daripada gangguan makhluk halus sebaliknya disebabkan sikap pemandu yang mengabaikan faktor-faktor keselamatan.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, beliau tidak melihat kewujudan perkara ghaib seperti yang digembar-gemburkan di media sosial merupakan faktor utama kemalangan maut di lebuh raya tersebut.
“Jika ingin bercakap mengenai makhluk halus, di sebelah rumah kita pun ada. Semasa kita memandu juga syaitan sentiasa ada di telinga untuk membisikkan perkara-perkara yang buruk untuk melalikan kita.
“Sebab itulah Islam menggalakkan kita sentiasa membaca doa dan beristighfar. Saya lihat faktor yang lebih besar adalah faktor keselamatan seperti pemanduan yang laju dan keadaan lebuh raya yang lurus membuatkan pemandu bosan dan mengantuk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, satu kemalangan di LPT2 meragut nyawa ke-87 walaupun pelbagai usaha bagi mengurangkan nahas termasuk menempatkan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang dilengkapi peralatan bantuan, menggandakan operasi perangkap had laju dan memasang papan tanda amaran telah dijalankan.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd. Ghafar Yusof berkata, mengikut kajian yang telah dibuat, kira-kira 70 peratus pemandu di LPT2 memandu melebihi had laju.
“Dengan rekod kemalangan yang dicatatkan di LPT2, sememangnya lebuh raya ini sangat tidak sesuai untuk pemanduan melebihi had laju.
“Selain itu, saya berharap pihak bertanggungjawab agar mempercepatkan pembukaan sepenuhnya kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di LPT2 kerana mungkin apabila pemandu terpaksa memandu tanpa boleh berehat membuatkan mereka hilang fokus di atas jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof. Dr. Wong Shaw Voon berkata, pemanduan melebihi had laju merupakan punca utama berlakunya kemalangan maut di LPT2.
“Keadaan jalan yang panjang, lurus dan membosankan membuatkan pemandu cenderung untuk ‘memecut’ kenderaan mereka lebih-lebih lagi pada waktu malam,” katanya.
– utusan.
Labels:
Semasa