Home » » INSTEP Lahir 10,000 Juruteknik Profesional Sejak 1981

INSTEP Lahir 10,000 Juruteknik Profesional Sejak 1981

Written By aku on Wednesday 11 November 2015 | 7:32 pm


Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP), Kuala Nerus berjaya melahirkan 10,000 juruteknik profesional pelbagai sektor industri minyak dan gas sejak institut itu ditubuhkan pada 1981.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah, berkata daripada jumlah itu, hampir 50 peratus atau kira-kira 5,000 tenaga mahir merupakan anak Terengganu.

Katanya, kebanyakan mereka kini sedang berkhidmat dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam dan luar Terengganu.

“Perkara itu membuktikan Petronas tidak pernah mengabaikan hak anak tempatan untuk mendapat peluang pekerjaan di syarikat minyak nasional. “Petronas sentiasa komited membantu anak-anak tempatan khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Cabaran Pandu Mesra Petronas-Kawat 2015 yang berakhir di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar (Teknikal dan Operasi) INSTEP Azmee Osman dan Pengurus Hal Ehwal Korporat Petronas Wilayah Timur, Shahrul Nizam Shahriman.


Turut hadir, Pengurus Komunikasi Dan Perhubungan Media Petronas, Zamri Mohamad dan Presiden Kelab Media Wartawan Terengganu (Kawat) Ayob Mamat.

Seramai 60 pengamai media melibatkan 20 pasukan dari pelbagai agensi di Terengganu menyertai program kali kedua anjuran Petronas dengan kerjasama Kawat.

Antara agensi terlibat Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Jabatan Penerangan Terengganu, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Media Prima.

Sementara itu, Azmee berkata, INSTEP atau sebelum ini dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Petrolium (ILPP) berjaya melahirkan lebih 1,000 graduan pada setiap tahun atau 500 pelajar bagi setiap semester.

Graduan itu termasuk 200 pelajar warga asing dari Iran, Mesir dan Sudan . Katanya, sebaik tamat pengajian, 85 hingga 90 peratus daripada graduan pastinya akan mendapat pekerjaan dalam pebagai sektor minyak dan gas huluan serta hiliran.

”Selebihnya berkemungkinan membuka perniagaan sendiri dan bekerja atau melanjutkan pengajian ke luar negara.

“Apa yang pasti kebarangkalian graduan INSTEP gagal mendapat pekerjaan atau menganggur adalah sifar,”katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger