Home » » Lega ombak tak mengganas

Lega ombak tak mengganas

Written By aku on Thursday 28 January 2016 | 9:40 am

Tengku Zaihan membonceng isterinya ketika meninjau keadaan air laut pasang di kawasan Kampung Pangkalan Atap dan Kampung Pantai, lewat malam kelmarin.


KUALA BESUT - Penduduk sepanjang pesisir Pantai Kuala Besut terutama di kawasan Kampung Pantai dan Pangkalan Atap, di sini, menarik nafas lega apabila keadaan angin dan ombak tidak ‘mengganas’ di kawasan tersebut, malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pangkalan Atap, Mohd Aziz Mahmud berkata, penduduk bimbang kesan angin dan ombak besar memandangkan penempatan mereka tidak begitu jauh dari pantai.

Menurutnya, keadaan angin dan ombak lebih baik malam kelmarin berbanding malam sebelumnya, yang turut merosakkan jalan menghubungkan Kampung Pangkalan Atap hingga Pachakan.

“Penduduk dapat tidur lena, walaupun sebelum ini diramalkan angin lebih kencang disusuli ombak besar akan berlaku malam kelmarin.

"Sebelum ini mereka bimbang angin dan ombak boleh menyebabkan kerosakan kepada rumah mereka,” katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Suhaimi Awang  berkata, air laut tidak melepasi jalan utama yang menghubungkan pekan lama Kuala Besut ke Kampung Pangkalan Atap pada malam kelmarin.

“Anggota JPAM sentiasa memantau keadaan di situ sejak malam hari Isnin lepas. Syukur keadaan lebih baik menyebabkan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman turut memantau kawasan terbabit sehingga larut malam kelmarin untuk memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku terhadap penduduk.

Menurutnya, kebanyakan rumah di kawasan kampung tersebut terlepas daripada dibadai ombak besar, namun pihaknya akan terus memantau fenomena itu.

“Lazimnya kawasan penempatan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pangkalan Atap yang sering menjadi mangsa fenomena air pasang besar ini, tetapi mereka telah dipindahkan lebih awal, akhir tahun lalu.

“Syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang meluluskan pemindahan penduduk PPRT Pengkalan Atap ke lokasi lebih selamat pada November tahun lepas, sekali gus mereka tidak lagi mengalami igauan ngeri kejadian ombak besar seperti dahulu,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger