Disangka pukul anak, wanita cedera dibelasah suami
Written By aku on Thursday, 4 February 2016 | 12:17 am
BESUT – Seorang suri rumah disepak dan dibelasah suami sehingga cedera selepas disangka memukul anak mereka dalam satu pertengkaran di antara suami isteri terbabit, di Kampung Seri Kemunting, Kuala Besut, Besut, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, mangsa, 27, bernasib baik apabila sempat melarikan diri bersama anak mereka ke rumah ibunya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum insiden tersebut, mangsa dikatakan memaksa suaminya membawa seorang wanita dikenali ke rumah mereka untuk berbincang dipercayai cemburu.
Menurutnya lagi, suspek yang enggan melayan karenah mangsa telah mengarahkan wanita tersebut untuk diam, namun mangsa yang masih tidak berpuas hati bertindak sebaliknya dengan menjerit menyebut perkataan ‘benci’ sekuat hati sebagai tanda protes.
“Jeritan mangsa menyebabkan anak mereka yang sedang tidur menangis kerana terkejut dan suspek yang melihat anak mereka masih kecil itu menangis mula naik angin. Suspek menyangka mangsa telah melepaskan perasaan marah dan geramnya terhadap si kecil mereka sebelum bertindak menyepak kepala mangsa beberapa kali.
“Disebabkan kesakitan dan bimbang dipukul teruk oleh suspek, mangsa menyembunyikan diri di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut bersama anak mereka,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, semalam.
Wan Abd Aziz berkata, namun suspek yang dipercayai seorang panas baran masih tidak berpuas hati terus mengamuk dan menyerang mangsa bertalu-talu di dalam bilik tersebut.
Kata Wan Abd Aziz, tidak tahan diperlakukan sedemikian rupa, mangsa nekad melarikan diri ke rumah ibunya yang terletak di kawasan berhampiran.
“Tetapi, dalam usaha mangsa melarikan diri itu, suspek masih sempat menyepak belakang badannya.
“Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan sakit dan lebam di seluruh badan serta kepala seterusnya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut untuk tindakan susulan,” katanya.
Menurutnya, mangsa mendakwa kejadian seumpama itu kerap berlaku dan dipercayai suspek pernah menyiram dia bersama anaknya dengan air ketika mereka bertengkar.
“Identiti suspek sudah dikenal pasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.
Labels:
Jenayah