Hentikan dulu seruan laksana undang-undang potong tangan, rejam, kata mufti Perlis
Written By aku on Friday, 5 February 2016 | 2:53 am
Umat Islam buat masa ini perlu berhenti dulu daripada terus menggesa supaya undang-undang Islam seperti memotong tangan dan rejam dilaksanakan ketika ini, kata Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Dalam tulisan di laman Facebooknya hari ini, beliau berkata, seluruh umat Islam perlu berhenti menyeru kepada pelaksanaan undang-undang Islam yang bersifat kontekstual dan mempunyai pra-syarat yang tidak dapat diwujudkan umat Islam dalam suasana hari ini.
"Fokus umat Islam masa kini ialah membangunkan kekuatan umat di sudut penghayatan agama dan imej Islam yang baik," katanya.
Asri juga berkata, untuk mempromosikan ajaran Islam, umat Islam harus menumpukan kepada penerapan nilai mulia terlebih dulu.
"Promosi Islam hendaklah dilakukan dengan berkesan di setiap peringkat dengan memberikan tumpuan kepada nilai mulia dan beradaban yang tinggi yang diajar Islam, bukan berkempen kepada undang-undang yang bersifat kontekstual yang tidak kondusif di zaman kini," katanya.
Beliau juga berkata, umat Islam khususnya mereka yang dalam golongan minoriti di sesebuah negara, harus mengelak daripada menyeru kepada pembentukan negara Islam atau undang-undang Islam yang bersifat penguasaan ke atas pihak yang lain.
Asri berkata, demikian antara rumusan yang dibuatnya setelah pulang daripada menyertai program bersama masyarakat Islam di Thailand, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan majlis-majlis agama Islam di negara itu. – 4 Februari, 2016.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hentikan-dulu-seruan-laksana-undang-undang-potong-tangan-rejam-kata-mufti-p#sthash.SWNxs6rn.dpuf
Labels:
Semasa