Home » » Nekad buang kayu elak dicekup

Nekad buang kayu elak dicekup

Written By aku on Sunday, 14 February 2016 | 12:47 pm


HULU BESUT - Sekumpulan lelaki bertindak nekad membuang muatan kayu pokok dari atas sebuah lori ke jalan raya ketika dikejar sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu di kawasan sawah padi di Kampung Padang Baloh, dekat Kampung Darau, di sini.

Penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, kumpulan dipercayai tiga lelaki menolak jatuh lebih 10 batang pokok dipotong pendek ke atas jalan untuk mengelak diberkas anggota penguat kuasa.

Menurutnya, pihak berkuasa dikatakan mengejar lori terbabit selepas terserempak dengan kenderaan itu di kawasan lain kerana dipercayai membawa muatan kayu tanpa kebenaran.

“Ketika dikejar, mereka dipercayai membuka pintu pagar belakang lori kemudian menolak kayu jatuh ke bawah sehingga berselerak di atas jalan selorong itu, menyebabkan anggota penguat kuasa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda gagal menahan mereka,” katanya.

Katanya, tindakan suspek turut menyebabkan seorang penduduk kampung yang mahu ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Subuh mengalami cedera ringan selepas motosikal ditungganginya terlanggar salah satu kayu tidak lama kemudian.

"Saya difahamkan, ketika itu anggota penguatkuasa pergi mendapatkan bantuan rakan setugas untuk alih kayu-kayu balak itu. Berikutan suasana masih gelap, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di sini terlanggar kayu pokok itu.

"Dia cedera ringan sahaja tapi motosikal ditungganginya mengalami kerosakan agak teruk. Kakitangan Jabatan Perhutanan telah mengalihkan kayu-kayu pokok tersebut bagi membolehkan jalan itu boleh dilalui kembali," katanya.

Tambahnya, kayukayu berkenaan dipercayai batang durian dan cempedak yang didakwa dicuri dari kebun milik penduduk kampung berdekatan untuk dijual kepada pihak tertentu.

Katanya, dia turut dimaklumkan bahawa identiti ketiga-tiga suspek telah dikenal pasti.

Dalam perkembangan lain, orang ramai menggesa pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa dan menyita lori yang beroperasi atas jalan raya tanpa cukai jalan serta tidak mengikut spesifikasi kerana lazimnya digunakan untuk aktiviti mencuri kayu.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger