Home » » PKR Mohon Maaf Kepada Lim Guan Eng Atas ‘Keterlanjuran’ Azmin

PKR Mohon Maaf Kepada Lim Guan Eng Atas ‘Keterlanjuran’ Azmin

Written By aku on Wednesday, 24 February 2016 | 11:09 pm


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat permohonan maaf kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di atas tindakan Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang itu secara terbuka kelmarin.

Permohonan maaf itu disebabkan tindakan Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor membantah kerajaan DAP Pulau Pinang memecat dua wakil rakyat PKR sebagai pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

“PKR meminta perkara ini dibincangkan secara terbuka dalam Majlis Presiden Harapan Pakatan akan datang.

“Kami amat berharap Guan Eng bermurah hati dan bersedia mengampuni. Mari selesaikannya dalam suasana sivil dan baik. Keupayaan kami untuk mengatasi perbezaan adalah kunci untuk menyakinkan rakyat,” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam satu kenyataan media hari ini.

Kelmarin, Mohamed Azmin selaku Menteri Besar Selangor membantah perbuatan Guan Eng memecat dua wakil rakyat PKR yang bersikap berkecuali semasa mengundi usul penambakan tanah dalam persidangan DUN Pulau Pinang.

Guan Eng menempelak tindakan Mohamed Azmin dengan mempersoalkan mengapa Menteri Besar Selangor itu mahu mencampuri urusan kerajaan Pulau Pinang yang diperintah oleh DAP.

“Pernahkah anda melihat saya mengulas mengenai hal ehwal negeri lain yang ditadbir oleh pakatan?” soal Guan Eng kepada pihak media semalam.

Tian Chua dalam kenyataan hari ini bagaimanapun menjelaskan Timbalan Presiden PKR tidak berhasrat untuk campur tangan dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, Guan Eng perlu memahami bahawa teguran Mohamed Azmin ke atas kerajaan DAP Pulau Pinang itu bukan pendapat peribadi beliau sebaliknya pendirian PKR.

“Kami mengakui bahawa adalah hak Ketua Menteri untuk melantik ahli lembaga pengarah dalam GLC negeri. Bagaimanapun dengan pengurusan hal negeri adalah tanggungjawab bersama.

“Sebagai rakan kongsi dalam kerajaan campuran Pulau Pinang, kita bukan sahaja berkongsi kuasa tetapi juga tanggungjawab. Sokongan orang ramai bukan hanya pada populariti peribadi tetapi kerja berpasukan,” tegasnya.

Kemelut yang berlaku diantara PKR dan DAP dalam soal pentadbiran kerajaan negeri itu berlaku hanya selepas sebulan kedua-dua parti itu menandatangani Perjanjian Pakatan Harapan pada Januari 2016.

Kemelut itu juga menidakkan dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sebelum ini kononnya tiada lagi prinsip ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam Pakatan Harapan.

Rafizi waktu itu mendakwa, ketiga-tiga parti Pakatan Harapan termasuk Parti Amanah Negara (PAN) masih bebas untuk membuat keputusan politik mereka namun selagi ia tidak bertentangan dengan perjanjian dan keputusan bersama. – mynewshub
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger