Home » » Terengganu sambut baik cadangan laluan Skyway di LPT2

Terengganu sambut baik cadangan laluan Skyway di LPT2

Written By aku on Sunday, 28 February 2016 | 11:55 am


KEMAMAN - Kerajaan negeri Terengganu menyambut baik cadangan Kementerian Kerja Raya untuk mewujudkan laluan Skyway di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan binatang liar melintas jalan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Ir Rosli Othman berkata, pihaknya akan berunding dengan beberapa pihak berkenaan sebelum melaksanakannya.

"Pada dasarnya Menteri Besar Terengganu bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan udara itu namun, kajian rapi mengenainya akan dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berkenaan.

"Beberapa pihak seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Perlidungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kerja Raya akan melakukan kajian mengenai cadangan pembinaan itu,"katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Menurutnya beberapa aspek juga perlu dikaji termasuk lokasi cadangan pembinaan laluan udara yang menjadi tumpuan haiwan liar di LPT2 yang sepanjang 180 kilometer itu.

"Pembinaan laluan ini sudah pasti menelan belanja banyak...sebab itulah perlu diadakan kajian terperinci mengenainya," katanya.

Cadangan pembinaan laluan udara itu dicadangkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melawat LPT2, baru-baru ini.

Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

Dalam perkembangan berkaitan Rosli berkata, LLM melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pagar untuk memastikan pagar di sepanjang LPT2 tidak diroboh atau dirosakkan penternak haiwan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada semua penternak haiwan supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di LPT2 atau berdepan tindakan kompaun. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger