Sebanyak 21 projek perumahan melibatkan 5,811 unit rumah mampu milik (RMM) siap dibina kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat sejak 2009 sehingga pertengahan Februari lalu.
Daripada 21 projek perumahan itu, sebanyak 1,133 unit RMM dibangunkan Di Dungun melibatkan RMM Batu 7 (500 unit); RMM Paya Beril (290); RMM Paya Lawas (243) dan RMM Bukit Tebuk (100), diikuti 1,020 unit di Kuala Nerus, masing-masing RMM Kampung Batin (720) dan RMM Banggol Tuan Muda (300) serta 951 unit di Kemaman melibatkan RMM Gong Cengal (466) dan RMM Perasing Jaya (485).
Daerah lain, di Besut sebanyak 950 unit melibatkan lima projek, iaitu RMM Gong Tengah (411), RMM Padang Luas (252) RMM Mengabang Besar (144), RMM Tok Saboh (72) dan RMM Gong Nering (71), manakala di Kuala Terengganu pula sebanyak 733 unit rumah, masing-masing RMM Batu Hampar (437), RMM Pulau Duyong (176) dan RMM Cerung Binjai (120), sementara Hulu Terengganu melibatkan 600 unit, iaitu di RMM Batu 22 (291), RMM Pekan Ajil (195) dan RMM Sungai Bejar (114).
Sementara, di dua daerah lain, Marang dan Setiu masing-masing di RMM Bukit Gasing (291) dan RMM Sungai Tong (133).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, 98 peratus daripada permohonan RMM berkenaan sudah diselesai dan dimuktamadkan untuk tindakan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
Katanya, semua pemohon berkenaan akan melalui proses tawaran, penerimaan bayaran deposit sebelum penyerahan kunci.
“Sementara baki dua peratus lagi pemohon dijangka akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.
“Selain rumah sedia ada dan sedang dibangunkan, kerajaan negeri juga terus komited untuk memastikan sasaran 10,000 unit RMM bagi kemudahan rakyat dapat dibangunkan dalam masa terdekat,”katanya.
Ahmad Razif berkata, ketika ini kerajaan negeri menerusi PMINT sedang mencari tapak yang sesuai untuk pelaksanaan projek berkenaan di negeri ini.
“Bagaimanapun projek berkenaan akan dilaksanakan mengikut keadaan kewangan negeri dan setakat ini sebanyak 16 cadangan tapak bagi projek tersebut sedang dikenalpasti termasuk di DUN Kota Putera dan DUN Kijal.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menjalin kerjasama dengan Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk membina sebanyak 2,557 unit rumah dalam masa terdekat selepas perundingan mengenai pemilihan kontraktor dan lokasi selesai.