Home » » Duit upah mengurut hangus

Duit upah mengurut hangus

Written By aku on Monday, 21 March 2016 | 3:25 pm


JABI - Pasangan penggiat seni dan bekas penyanyi dikir barat tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Gong Pasir dekat Kerandang di sini, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu turut memusnahkan wang tunai RM300 yang dikumpulkan Razali Husin, 57, dan isterinya Maimunah Mamat, 51, sejak lebih seminggu lalu.

Menurut Razali, wang tersebut hasil pendapatan isterinya mengambil upah mengurut penduduk yang dikumpulkan sedikit demi sedikit.

“Sebanyak RM60 daripada wang tersebut  pula disimpan untuk membayar yuran asrama anak bongsu kami yang sedang belajar di Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila,” katanya yang tidak mampu bekerja kerana menghadapi masalah kesihatan asma dan tekanan darah rendah.

Tambahnya, kejadian tersebut berlaku sebaik dia dan isterinya pulang dari melawat ibunya yang uzur di Kampung Keluang dekat Kampung Raja.

Menurutnya, ketika di  rumah ibunya,  isterinya, tiba-tiba menggesanya pulang ke rumah kerana memaklumkan rasa tidak sedap hati.

“Tidak lama selepas sampai di rumah sewa tu, kami terdengar bunyi macam letupan kecil berhampiran peti sejuk di bahagian dapur.

“Saya dapati wayar elektrik rumah berhampiran peti sejuk itu sudah menyala kemudian merebak ke bahagian lain rumah dan api mula marak. Saya dan isteri keluar menyelamatkan diri," katanya.

Tambahnya, dengan bantuan jiran dia cuba memadamkan api tersebut dengan paip air di rumah jiran sementara menunggu kedatangan bomba. Namun, tidak berjaya, rumah kayu tersebut hangus sekelip mata.

Menurutnya, sebuah motosikal Honda klasik kesayangannya turut musnah selain wang tunai, dokumen penting dan pakaian.

“Ketika kejadian, hanya saya berdua saja di rumah manakala tiga anak pergi kerja sementara anak bongsu di asrama sekolah,” katanya.

Dia yang merupakan penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ini pernah aktif dalam pelbagai kegiatan seni dan terkenal dengan panggilan Tok Ayah.

“Saya anggarkan kerugian sekitar RM40,000 dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan JKM serta semua pihak yang datang menziarahi saya,” katanya.

Api berjaya dipadamkan oleh lima anggota bomba bersama sebuah jentera.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger