Home » » Dun Terengganu Di Bubar ?

Dun Terengganu Di Bubar ?

Written By aku on Wednesday, 30 March 2016 | 11:09 am


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menafikan dakwaan sebagaimana yang tersebar dalam media sosial mengenai kemungkinan berlaku pembubaran Dun untuk membolehkan satu pilihan raya negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat di negeri ini.

Beliau sebaliknya menegaskan, perkara itu sengaja diviralkan bertujuan mewujudkan persepsi di kalangan rakyat bahawa Dun Terengganu berada dalam keadaan goyah dan bila-bila masa sahaja akan berlaku PRN.

Beliau bagaimanapun memberitahu bahawa kerajaan negeri BN tidak akan terjejas sekalipun Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengambil tindakan keluar dari Umno.

“Keadaan negeri Terengganu kita masih lagi dalam keadaan 17 (BN), 14 (Pas) dan satu (PKR-Pakatan Harapan)...Kalau berlaku apa-apa keadaan, katakan di Dun Kijal berlaku apa-apa, masih lagi berlaku 16 (BN), 14 (Pas). Tiada masalah. Kita boleh kukuhkan lagi kerajaan, jadi tiada isu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media selepas Majlis Makan Malam Santai YAB Menteri Besar Terengganu bersama Media Negeri Terengganu di Hotel Primula, di sini, malam kelmarin.

Dun Terengganu kembali menjadi panas selepas Adun Kijal itu membawa usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif dalam Sidang Dun, 8 Mac lalu.

Walaupun usul tersebut ditolak Yang Dipertua Dun Terengganu, Datuk Mohd Zuber Embong, namun banyak andaian daripada pelbagai pihak sehingga berlaku penyebaran maklumat dalam media sosial  bahawa pembubaran Dun Terengganu akan berlaku.

Ahmad Razif juga turut menafikan spekulasi bahawa ketiadaan beliau beberapa hari lalu di negeri ini adalah kerana pentadbirannya bakal berakhir.

Adun Seberang Takir itu sebaliknya memberitahu hadir ke program Beautiful Terengganu di Johor selama lima hari yang berakhir Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif tidak menolak viral sedemikian bersifat provokosi bertujuan melemahkan kerajaan negeri sedia ada serta menggagalkan usaha dan perancangan kerajaan negeri ke arah pembangunan lebih mapan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak berhenti daripada menyebarkan spekulasi tidak benar berhubung kedudukan Dun Terengganu serta tidak melayan perkara yang mengaitkan kerajaan negeri dengan isu pembubaran Dun.

“Kita tidak perlu layan sangat tentang isu-isu yang sebegini. Kita kena terus pandang ke depan kerana kepentingan sekarang ini adalah kepentingan rakyat. Jadi, bagi saya, seperti yang saya sebut sebelum ini, apa yang berlaku ini seolah-olah seperti ribut dalam cawan. Itu sahaja,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger