MB nafi beri peringatan kepada pemimpin Umno
Written By aku on Friday, 25 March 2016 | 1:01 am
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan telah memberi peringatan kepada pemimpin Umno di Terengganu menerusi laman sosial Facebook.
Beliau yang dihubungi Bernama hari ini berkata kenyataan tersebut adalah palsu dan ada pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan nama serta gambar beliau.
Ahmad Razif berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia mampu mencetus pelbagai andaian apatah lagi dalam keadaan Terengganu yang sedang mengalami kemelut politik.
Kenyataan yang tersebar dalam laman Facebook palsu sejak semalam itu menyebut mengenai arahan yang dikeluarkan dalam menghadapi keadaan politik negeri yang tidak menentu dan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.
Kemelut politik di Terengganu tercetus selepas Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif dalam sidang Dun 8 Mac lalu. - Bernama
Labels:
Politik