08 Jamadil Akhir 1437H
17 Mac 2016M
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتهُ
بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
Rahsia Khusyu’ dlm solat.
Ada dua bahagian khusu'iaitu khusu' Rohani dan Khusu' anggota badan.
Dlm bicara ini byk menyentuh hal khusu' Rohani.
Ada seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyu’ solatnya. Namun dia selalu khawatir bahawa ibadahnya kurang khusyu’ dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk selalu memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyu’ dalam beribadah.
Allah SWT berfirman yang maksudnya:
"Sesungguhnya Aku Ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain aku, Maka sembahlah Aku dan Dirikanlah solat untuk mengingat Aku".
(Thahaa: 14)
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis dan bertemu seorang ahli ibadah Hatim al isam dan bertanya : "Wahai tuan, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Hatim menjawab: "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin".
Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"
Hatim menjawab, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh hati dengan tujuh perkara:
1. Bertaubat,
2. Menyesali dosa yang dilakukan,
3. Tidak tergila-gila akan dunia,
4. Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya'),
5. Tinggalkan sifat berbangga,
6. Tinggalkan sifat khianat dan menipu,
7. Meninggalkan sifat dengki.
Selanjutnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku hadapkan semua anggota tubuhku ke kiblat. Aku berdiri dengan penuh tumpuan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam solat kufahami maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah cara aku solat selama 30 tahun ini".
Mendengar hal tersebut Isam pun menangis kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik jika dibandingkan dengan Hatim.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman,(1) (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya"(2)
(Al-Mu’minun: 1-2)
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ خَشْرَمٍ أَخْبَرَنَا عِيسَى بْنُ يُونُسَ عَنْ عِمْرَانَ بْنِ زَائِدَةَ بْنِ نَشِيطٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي خَالِدٍ الْوَالِبِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ يَا ابْنَ آدَمَ تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ صَدْرَكَ غِنًى وَأَسُدَّ فَقْرَكَ وَإِلَّا تَفْعَلْ مَلَأْتُ يَدَيْكَ شُغْلًا وَلَمْ أَسُدَّ فَقْرَكَ
قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ وَأَبُو خَالِدٍ الْوَالِبِيُّ اسْمُهُ هُرْمُزُ
Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda:
"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam, fokuskanlah untuk beribadah kepadaku niscaya Aku penuhi dadamu dengan rasa cukup dan aku tutupi kefakiranmu, jika kamu tidak mengerjakannya Aku akan penuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutupi kefakiranmu".
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
Semoga kita dapat mengambil pengetahuan yang bermanfaat. Semoga kita semua termasuk orang-orang yang menegakkan solat 5 waktu tepat waktunya dan semata-mata hanya kerana ALLAH SWT.
Justeru, muhasabahlah solatmu...