Siasat punca tidak ke sekolah
Written By aku on Sunday, 13 March 2016 | 1:07 pm
HULU BESUT - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah menghantar pegawainya ke Perkampungan Orang Asli Sungai Sayap, Keruak, untuk menyiasat dakwaan terdapat sembilan anak Orang Asli tercicir dalam pendidikan.
Kumpulan tersebut diketuai Penyelia Kanan Disiplin JPNT, Fadzilah Yasin dan beberapa pegawai bahagian.
Menurut Fadzilah, beliau ingin mendapat gambaran sebenar dan menyiasat punca masalah yang menyebabkan sembilan anak Orang Asli di situ tidak bersekolah seperti yang dilaporkan.
“Malangnya ketika kami ke perkampungan itu, kesemua anak Orang Asli yang dimaksudkan pergi mencari hasil hutan di kawasan hutan berhampiran penempatan mereka.
“Namun saya sempat bertemu beberapa masyarakat Orang Asli termasuk penduduk Kampung Keruak yang bertindak sebagai guru agama di situ,” katanya.
Fadzilah berkata, maklumat awal diperoleh, terdapat sekurang-kurangnya lima anak Orang Asli di situ yang sepatutnya bersekolah rendah tetapi tidak ke sekolah.
Menurutnya, hasil temu bual dengan beberapa penduduk Orang Asli di situ juga, terdapat beberapa sebab yang didakwa punca mereka tidak ke sekolah.
“Saya akan pulang melaporkan perkara ini kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut termasuk akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memastikan anak Orang Asli di situ mendapat pendidikan sewajarnya,” katanya.
Sebuah akhbar tempatan pada 8 Mac lalu memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri merangkap Adun Hulu Besu, Nawi Mohamad tentang sembilan anak Orang Asli Sungai Sayap tidak bersekolah apabila ibu bapa tidak menghantar mereka ke sekolah.
Sementara itu Sinar Harian difahamkan kali terakhir kanak-kanak Orang Asli di situ dihantar ke sekolah pada 2014, namun selepas itu hingga sekarang mereka tidak ke sekolah.
Menurut sumber, sekitar 2014, kanak-kanak Orang Asli di sini ke sekolah menaiki dua kereta dipandu penduduk Orang Asli termasuk Tok Batin, Adam Nilam.
“Ketika itu pemilik kenderaan mendapat bayaran elaun bulanan bagi tugas tersebut daripada jabatan berkaitan.
"Ditambah, keadaan Adam yang mengalami masalah kesihatan akibat angin ahmar turut menyulitkan lagi keadaan,” dakwanya.
Labels:
Semasa