MB Terengganu hadir mesyuarat di Putrajaya
Written By aku on Friday, 29 April 2016 | 12:09 am
PUTRAJAYA - Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman adalah antara menteri besar dan ketua menteri yang hadir pada Mesyuarat Ke-72 Majlis Tanah Negara (MTN) di sini, hari ini.
"Menteri Besar Terengganu datang," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila ditanya pemberita mengenai kehadiran Ahmad Razif pada mesyuarat itu.
Ahmad Zahid mempengerusikan mesyuarat itu yang diadakan di Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri pagi tadi sebelum mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pengurusan Bencana Pusat petang tadi.
Mesyuarat MTN turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri, menteri-menteri yang berkaitan dan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.
Mesyuarat itu diadakan selaras dengan kehendak Perkara 9(3) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan supaya mesyuarat MTN perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.
Semalam, Mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri Terengganu berjalan seperti biasa di Wisma Darul Iman dengan dipengerusikan Ahmad Razif.
Pada Isnin, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif berkuat kuasa Jumaat lepas. – Bernama
Labels:
Politik