Suspek jenayah kekerasan diberkas
Written By aku on Friday, 15 April 2016 | 7:49 pm
KAMPUNG RAJA – Seramai dua individu di daerah ini yang terlibat dengan jenayah kekerasan telah ditangkap dan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 2014 (POCA).
Ketua Polis Daerah Besut, Asisten Komisioner Khaled Che Lah berkata, dua individu tersebut masing-masing berusia 30-an seorang dari Kuala Besut dan Jertih itu dikenakan tindakan tersebut kerana didapati melakukan jenayah terbabit.
Menurutnya, pesalah dari Kuala Besut dikenakan tindakan pada tahun 2014 sementara seorang lagi pada akhir tahun lalu. Menerusi akta tersebut, mereka dibenarkan ditahan tanpa bicara atas alasan yang kukuh.
“Salah seorang daripada mereka diarah berada di suatu lokasi ditetapkan dan dipakai Peranti Pengawasan Elektronik (EMD) untuk memantau pergerakannya. Individu yang didapati melanggar syarat POCA pula secara automatik akan dipenjarakan selama dua tahun,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan di Bilik Gerakan IPD Besut, di sini.
Sementara itu, kata beliau seramai dua individu telah dikenakan tindakan di bawah Langkah–Langkah Pencegahan Khas (LLPK) bagi Januari 2016 sehingga semalam berbanding tiga orang bagi tempoh sama tahun lalu.
Khaled berkata, keseluruhan seramai sembilan individu dikenakan tindakan di bawah akta itu pada tahun lalu.
“Mereka dikenakan tindakan buang daerah di lokasi tertentu di negara ini dan pengawasan kerana melakukan kesalahan berkait penyalahgunaan dadah,” katanya.
Menurutnya, pihaknya dalam proses melakukan tindakan sama terhadap beberapa individu lain kerana didapati melakukan kesalahan sama.
Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas antara Asisten Superintendan Shaizul Farid Mohamed Said dengan Asisten Superintendan Mohd Rozaimie Ab Rahim serta antara Ketua Bahagian Sumber Strategi dan Teknologi Daerah, Inspektor Norman Ab Ghani kepada Asisten Superintendan Sabri Mohamad Noor.
Shaizul Farid yang menyandang jawatan tersebut hampir setahun lalu akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sementara Norman yang bertugas di IPD Besut hampir lapan tahun lalu akan bertukar ke IPD Nilai, Negeri Sembilan berkuat kuasa Selasa lepas.
Mohd Rozaimie yang bertugas di IPD Besut juga hampir lapan tahun lalu dan sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pegawai Risik dan Operasi akan mengambil tugas Shaizul Farid sementara Sabri yang merupakan Pegawai Lesen IPD Besut akan memangku tugas Norman.
Dalam pada itu Majlis Serah Menyerah Ketua Polis Daerah Besut antara Khaled dengan penggantinya akan diadakan pada 21 April ini di IPD Besut dan dijadualkan akan disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman.
Khaled yang dinaikkan pangkat Asisten Komisioner akan bertugas ke IPK Pahang.
Labels:
Jenayah