Home » » Terpesona janji rakan sekampung

Terpesona janji rakan sekampung

Written By aku on Thursday, 28 April 2016 | 11:04 pm


JABI - “Dia memang pandai bercakap dan berperwatakan baik. Kata-katanya meyakinkan menyebabkan saya percaya hingga sanggup meminjamkan wang dalam jumlah besar kepadanya,” luah seorang peniaga kedai runcit yang mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang lelaki, semalam.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Lan, 34, berkata, dia sebelum ini didatangi suspek yang merupakan rakan sekampung, yang mahu meminjam sebanyak RM222,000.

Menurutnya, dia terpesona dengan janji manis lelaki itu hingga sanggup menyerahkan wang pertama sebanyak RM50,000 pada 6 Oktober tahun lalu.

“Saya menyerahkan wang itu secara berperingkat sebanyak enam kali. Kali terakhir serahan dibuat pada Disember lalu melalui transaksi ke akaun suspek sebanyak RM7,000.

“Dia kata konon nak guna wang itu sebagai kos guaman urusan penjualan sebuah kondominium di Singapura. Dia berjanji akan bayar balik sebanyak RM450,000 selepas pembeli rumah tersebut membuat bayaran sebaik selesai urusan guaman,” katanya.

Katanya lagi, bagi meyakinkannya, suspek turut meminta dia bercakap dengan seorang lelaki Cina melalui telefon, kononnya bakal pembeli rumah tersebut.

“Tindakan licik suspek amat meyakinkan saya kerana dia janji akan bayar balik sekali ganda, apatah lagi dia beri tiga kereta kepada saya untuk digunakan,” katanya.

Bagaimanapun, Lan berkata, selepas lebih sebulan menunggu, dia masih tidak memperoleh sebarang bayaran seperti dijanjikan dan mengesyaki suspek menipunya.

Menurutnya, usaha untuk mendapatkan semula wang itu juga gagal apabila suspek dikatakan sering mengelak untuk berjumpa dan menghilang diri.

“Saya langsung tidak dapat balik wang itu, memaksa saya buat tiga laporan pada 29 Februari, 3 April dan kali terakhir Ahad lepas di Balai Polis Jertih. Hari yang sama suspek ditangkap polis.

"Kereta diberikan suspek juga adalah milik seorang lelaki Cina dari Kuala Lumpur yang datang ke rumah saya dan mendakwa kereta itu miliknya. Dia turut menjadi mangsa," katanya.

Katanya lagi, suspek agak licik dan dikatakan sering mengugut akan menyaman mana-mana pihak yang cuba melakukan sesuatu kepadanya.

Sementara itu, beberapa pihak lain turut tampil membuat laporan polis, termasuk seorang penjawat awam wanita berusia 42 tahun, yang mendakwa dia bersama kakak dan adiknya kerugian RM327,000 selepas ditipu suspek sama.

Mangsa dari Kampung Renek itu mendakwa kerugian RM27,000, sementara kakak RM200,000 dan adiknya RM100,000.

“Suspek mahu pinjam wang, konon untuk mendapatkan tender membekalkan kasut kepada sebuah kementerian dan memerlukan modal. Kami semua percaya dan menyerahkan wang kepadanya.

"Bagaimanapun, kami tidak memperoleh apa dijanjikan, malah usaha kami ke rumah suspek untuk menuntut semula wang dipinjamkan, memberi kesan buruk apabila suspek membuat laporan polis kononnya kami menceroboh kawasan rumah," katanya.

Difahamkan, ramai lagi menjadi mangsa dan ada sebahagian mereka yang sudah membuat laporan polis agar suspek dikenakan tindakan sewajarnya.

Sinar Harian kelmarin melaporkan mengenai kenyataan akhbar dibuat Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berhubung tangkapan seorang lelaki dari Jabi kerana dipercayai menipu rakan sekampung sebanyak RM222,000.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Besut GegerTemplate | Mas Template
Copyright © 2011. Besut Geger - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Besut Geger
Proudly powered by Blogger