Kastam Terengganu sita 47 kereta seludup
Written By aku on Monday, 8 August 2016 | 8:45 am
KUALA TERENGGANU - Jabatan Kastam Terengganu menyita 47 kereta seludup bernilai kira-kira RM1.3 juta bagi tempoh Januari lepas hingga Rabu lalu.
Pengarahnya, Datuk Hamzah Sundang berkata kesemua rampasan itu melibatkan nilai cukai kira-kira RM2.04 juta.
"Kebanyakan kereta yang dirampas ini adalah kenderaan dari Singapura dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran," katanya kepada pemberita, di sini.
Terbaru pada Rabu lepas, katanya pihaknya menyita dua buah kereta seludup jenis Nissan Sunny dan Mazda 3, masing-masing di Kuala Ibai dan Kampung Bukit.
"Kenderaan itu diletakkan di tepi jalan dan disyaki dibawa masuk dari negara jiran dan pihak kami sedang berusaha mengesan pemilik kereta terbabit," katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan penyeludupan dan penyelewengan agar melaporkan ke Bahagian Penguatkuasaan Kastam Terengganu di talian 09-6225674 atau talian bebas tol 1-300-888-500. - Bernama
Labels:
Jenayah