Home »
» Kunyit rela hati bantu orang Melayu
Kunyit rela hati bantu orang Melayu
Written By aku on Monday, 8 August 2016 | 8:33 am
BESUT - Kalau ditanya nama Samran Eler, tidak ramai penduduk daerah ini mengenali nama itu biarpun dalam kalangan masyarakat Siam sendiri, namun kalau disebut nama Kunyit, sudah pasti lelaki berketurunan Siam ini dikenali pelbagai bangsa.
Samran, 46, yang lebih dikenali dengan panggilan Kunyit itu amat dekat di hati masyarakat Melayu di daerah ini kerana jasa dan khidmat besarnya membantu pemilik kebun di daerah ini.
Mekanik ini sering dipanggil pemilik kebun termasuk anggota Rela di daerah ini untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan babi hutan yang sering memusnahkan tanaman di kebun masing-masing.
Menurut Kunyit, dia sering dipanggil penduduk untuk membantu memindahkan dan menanam bangkai babi hutan, setelah ditembak pemilik kebun untuk mengelak bau busuk di kawasan kebun mereka.
“Saya rela hati membantu mereka kerana saya tahu, umat Islam tak dibolehkan agama untuk memegang babi dan saya percaya, bantuan saya banyak menyelesaikan sedikit kesulitan dihadapi mereka.
“Selain ditanam atau dilupuskan jauh dari kawasan kebun penduduk kampung, adakala bangkai haiwan ini diserahkan kepada rakan saya yang mempunyai lesen dan permit daripada agensi berkaitan untuk mengambil atau menyimpan babi hutan yang ditembak,” katanya.
Menurutnya, hampir setiap hari ada panggilan daripada penduduk kampung yang memintanya membantu menanam bangkai babi setelah didapati memasuki kebun atau ladang penduduk sehingga dari Keruan yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kerjanya.
Menurutnya, apa yang dilakukannya hanya kerana minat semata-mata dan ingin membantu pemilik kebun, di sini.
“Saya juga pernah sertai operasi menembak babi hutan oleh Rela atau pemilik senapang patah di daerah ini selepas mendapat kelulusan jabatan berkaitan untuk tujuan sama.
“Kadang-kadang, saya bertindak sebagai pengesan bersama beberapa ekor anjing milik rakan saya untuk mengesan babi hutan di kawasan kebun untuk menghalau babi hutan keluar melalui lokasi ditunggu oleh penembak,” katanya yang fasih loghat Kelantan dan berwajah mirip orang Melayu.
Tabur khidmat sejak berusia 20 tahun
Kata Kunyit lagi, khidmat percumanya kepada masyarakat Melayu di sini, bermula sejak berusia 20 tahun lagi dan kerana faktor itu kemungkinan menyebabkan namanya begitu dikenali, selain mempunyai ramai pelanggan yang sering menggunakan khidmatnya untuk membaiki sistem elektrik kenderaan.
Menurutnya, jolokan nama Kunyit diberikan oleh masyarakat Siam ketika dia masih kanak-kanak lagi disebabkan warna kulitnya ketika kecil kekuning-kuningan.
“Saya lebih ramai berkawan dengan orang Melayu berbanding masyarakat Siam sendiri, malah saya merasakan sebahagian daripada mereka,” katanya.
Selain itu, Kunyit juga sering dipanggil oleh penduduk untuk memusnahkan sarang tebuan berhampiran rumah penduduk.
Katanya, sepanjang Ogos hingga November adalah musim tebuan bersarang dan tugasnya membantu penduduk akan bertambah.
“Bermula bulan ini, ramailah yang akan panggil saya untuk musnahkan sarang tebuan di kawasan rumah atau kebun mereka. Biasanya sarang saya musnahkan, tetapi anak tebuan boleh dimasak dan dimakan oleh kami,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 5 hingga 17 tahun hasil perkongsian hidup dengan wanita berketurunan Cina, Wei Chui Sian, 39.
Hubungan dengan masyarakat Melayu akrab
Sementara itu, pemilik dusun, Zamani Nawawi, 41, berkata, dia telah lama mengenali Kunyit tetapi tidak tahu nama sebenar rakannya itu.
Menurutnya, hubungan Kunyit dengan masyarakat Melayu di sini amat rapat kerana boleh dikatakan sepanjang hari termasuk malam, dia sentiasa bersama orang Melayu.
“Kunyit banyak membantu kami golongan pekebun. Ini kerana selepas menembak babi hutan yang memasuki kebun dan memusnahkan tanaman, dialah yang menguruskan babi hutan tersebut,” katanya.
Zamani turut menyifatkan hubungan Kunyit dengan masyarakat Melayu di sini sebagai lambang masyarakat berbilang kaum yang terbaik perlu dicontohi.